KUALA LUMPUR: Polis merampas 150 kilogram (kg) dadah disyaki syabu bernilai kira-kira RM3.3 juta ($1.01 juta) hasil pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang ditinggalkan seorang lelaki berhampiran Plaza Tol Damansara, dekat sini, pada 29 September lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata sebelum itu, kira-kira 4 petang, Pasukan Peronda Lebuhraya (EMPV) Zon Tengah A1 telah mengarahkan MPV itu berhenti di KM18 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) arah selatan, namun pemandunya enggan memberikan kerjasama.
“Dalam usaha melarikan diri, pemandu MPV itu merempuh palang tol sebelum meninggalkan kenderaan terbabit di lorong kanan Plaza Tol Damansara,” katanya dalam satu kenyataan pada 1 Oktober.
Datuk Mohd Yusri berkata hasil pemeriksaan menemukan enam karung guni berwarna hijau dengan setiap satu mengandungi 25 peket bungkusan kecil bertulisan Cina ‘Chinese Pin Wei’, menjadikan jumlah keseluruhan 150 peket.
“Setiap peket dianggarkan seberat satu kilogram dan semuanya dipercayai mengandungi dadah jenis syabu,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata semua rampasan termasuk kenderaan terbabit dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau berkata polis sedang mengesan suspek yang melarikan diri.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg