SUBANG JAYA (Selangor): Kejadian kemalangan berhampiran di SS17, Subang Jaya, Selangor, pada 13 Ogos lalu, membongkar kegiatan pengedaran dadah selepas polis menemukan sebanyak 220 kilogram (kg) syabu bernilai RM7 juta ($2.03 juta) dalam kereta yang ditinggalkan di tepi jalan.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Penolong Pesuruhjaya Wan Azlan Wan Mamat, berkata dalam kejadian pukul 11.30 pagi itu, kereta Honda Civic terbabit terbabas sebelum orang awam menghubungi polis bagi memaklumkan mengenai kemalangan tersebut.
“Namun, pemeriksaan mendapati tiada pemandu atau penumpang di dalam dan sekitar kereta tersebut.
“Pemeriksaan lanjut menemukan sebanyak 11 guni berisi 208 bungkus plastik disyaki syabu seberat 220.16kg yang boleh dibekalkan kepada lebih 200,000 penagih,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, pada 22 Ogos, lapor Kosmo!.
Menyusuli itu, beliau berkata pihaknya sedang mengesan individu dikenali Mohd Rahmat Hanafi berusia 32 tahun yang beralamat di Rantau Panjang, Kelantan, bagi membantu siasatan, selepas kad pengenalan lelaki itu ditemui dalam kenderaan terbabit.
“Kereta itu didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu. Semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah dan sembilan kes dadah,” ujarnya.
Wan Azlan berkata semakan awal mendapati suspek masih di dalam negara dan beliau meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat atau rakaman kamera papan pemuka supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Saifullah Rosdi di talian 017-9065674 atau balai polis berdekatan.
Dalam perkembangan berkaitan, polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan merampas sejumlah 425.25kg bernilai RM13.6 juta menerusi beberapa serbuan dan tangkapan di Lembah Klang.
Turut ditahan adalah lima individu berusia 33 hingga 64 tahun termasuk ketua kumpulan sindiket.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg