Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis Sabah tahan lelaki berkelakuan tidak senonoh depan remaja

Jul 10, 2025 | 11:31 AM
Suspek berusia 30-an tahun yang ditangkap oleh anggota polis dari Tawau, Sabah.
Suspek berusia 30-an tahun yang ditangkap oleh anggota polis dari Tawau, Sabah. - Foto FACEBOOK POLIS DAERAH TAWAU

TAWAU (Sabah): Perbuatan tidak bermoral lelaki menunjukkan kemaluannya di hadapan seorang pelajar perempuan di Tawau, Sabah, membawa padah apabila dia ditahan polis, pada 9 Julai.

Ketua Polis Daerah Tawau, Penolong Pesuruhjaya (ACP) Jasmin Hussin, berkata suspek berumur 30-an tahun itu ditahan susulan laporan yang diterima polis daripada remaja berusia 15 tahun terbabit.

Menurutnya, dalam kejadian 12.45 tengah hari itu, mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang dari sekolah dan menuju ke rumahnya sebelum dihampiri pacuan empat roda dipandu oleh seorang lelaki yang tidak dikenali.

“Suspek yang pada awalnya bertanyakan arah jalan kepada mangsa sebelum bertindak berkelakuan tidak senonoh menunjukkan kemaluannya.

“Mangsa yang terkejut bagaimanapun segera melarikan diri ke kawasan perumahan yang berhampiran kerana bimbang akan keselamatan dirinya sebelum tampil membuat laporan polis,” katanya menerusi satu kenyataan pada 9 Julai.

Mengulas lanjut ACP Jasmin berkata susulan laporan itu, suspek berjaya dikesan dan ditahan di sebuah rumah di kawasan Merotai oleh sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai, pada 4.30 petang hari sama.

Suspek bersama barang rampasan iaitu sebuah pacuan empat roda dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut, tambah beliau.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum selama tempoh 20 tahun dan sebat,” katanya.

Dalam kejadian lain, tiga lelaki dipercayai terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah diberkas dalam satu operasi bersepadu yang dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau pada 9 Julai.

ACP Jasmin berkata operasi yang dijalankan itu berjaya mengesan dua lelaki mencurigakan sebelum mereka ditahan untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan kedua-dua suspek menemukan dua paket plastik lutsinar berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu, masing-masing seberat 0.38 gram dan 0.18 gram,” katanya.

Dalam serbuan di lokasi berasingan, seorang lagi lelaki turut ditahan dan pemeriksaan lanjut menemukan satu lagi paket syabu seberat 0.13 gram.

Kesemua suspek bersama barang rampasan telah dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya sambil menegaskan pihak polis akan terus komited membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah di daerah berkenaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg