Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis tahan 2 lelaki libat sindiket ‘ah long’ di Johor

Dec 4, 2025 | 1:21 PM
ah long, johor
Antara pakaian dan barangan yang dirampas oleh polis yang dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah. - Foto POLIS JOHOR

Polis Johor menumpaskan satu sindiket pinjaman wang tanpa lesen (ah long) yang dikesan aktif melakukan ugutan jenayah, khianat api dan simbah cat terhadap peminjam, dengan penahanan dua lelaki tempatan di Segamat pada 18 November.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, berkata sindiket tersebut dikesan menyasarkan warga Malaysia yang bekerja di Singapura, dengan transaksi kewangan keluar dan masuk dilakukan melalui akaun bank berdaftar di republik ini, selain mempromosikan pinjaman haram melalui Facebook dan TikTok.

“Suspek berusia 45 dan 46 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota Bahagian Pencegahan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, bersama D7 Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan.

“Siasatan mendapati kedua-dua lelaki itu menerima upah antara RM800 ($252) bagi setiap perbuatan khianat menggunakan api, dengan RM400 bagi kes simbah cat serta menampal notis ugutan di kediaman mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada 3 Disember.

Polis turut merampas sebuah Proton Wira, nombor pendaftaran palsu, dua botol petrol, sebotol cat, telefon bimbit dan beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah tersebut.

Hasil ujian air kencing kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Lebih membimbangkan, peminjam akan dipaksa membayar balik dengan kadar faedah antara 20 dengan 50 peratus, sebelum diugut atau menjadi mangsa khianat api sekiranya gagal menjelaskan bayaran.

“Dengan penahanan dua suspek itu, polis berjaya menyelesaikan 17 kes membabitkan modus operandi yang sama, termasuk enam kes di Johor Bahru Selatan, tiga di Johor Bahru Utara, tiga di Batu Pahat, tiga di Kluang, serta masing-masing satu kes di Seri Alam dan Segamat,” jelasnya.

Menurut Datuk Ab Rahaman, sebanyak 19 pertuduhan dikenakan terhadap suspek, melibatkan Seksyen 435 Kanun Keseksaan (khianat dengan api), Seksyen 427 (khianat), Seksyen 507 (ugutan secara sembunyi nama) serta satu pertuduhan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sembilan pertuduhan dibuat di Mahkamah Majistret dan Sesyen pada 4 Disember, manakala baki 10 pertuduhan akan diuruskan selepas kes di Johor Bahru selesai.

Reman suspek dilanjutkan sehingga 4 Disember bagi membantu siasatan.

Polis Johor menegaskan komitmen untuk terus membanteras sindiket ah long demi melindungi masyarakat daripada ancaman ugutan, keganasan dan jenayah khianat api.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melayari iklan pinjaman tidak berlesen dan menyalurkan maklumat mengenai kegiatan mencurigakan kepada Hotline Polis Johor di talian 019-2792095 atau Bilik Gerakan di 07-2212999.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg