JOHOR BAHRU: Lebih 100 suspek telah ditahan dalam satu operasi selama sebulan di seluruh negeri Johor bagi memerangi kejadian curi kenderaan di negeri itu.
Ketua Polis Johor, Pesuruhjaya M. Kumar, berkata suspek ditahan semasa Ops Lejang antara 21 Jun dengan 21 Julai.
“Tumpuan operasi ini merangkumi bengkel, kedai menjual alat ganti dan menjual kenderaan terpakai di seluruh negeri.
“Sepanjang operasi itu, kami telah menahan 110 suspek warga tempatan dan enam warga asing termasuk empat wanita dipercayai terbabit dalam pelbagai kes curi kenderaan,” katanya sambil menambah bahawa suspek berusia 16 hingga 59 tahun.
“Operasi itu juga menumpaskan lapan sindiket curi kenderaan,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada 25 Julai, lapor The Star.
Beliau mendedahkan bahawa pihaknya turut merampas 81 kenderaan termasuk 25 kereta, satu van, empat lori dan 51 motosikal dalam operasi itu.
“Kami juga telah merampas 13 rangka motosikal, 30 komponen kenderaan dan semua jenis peralatan yang digunakan untuk mencuri kenderaan itu,” ujarnya.
Pada sidang sama, Encik Kumar juga berkata tiga sindiket curi kenderaan mewah termasuk kenderaan pacuan empat roda (4x4) berjaya ditumpaskan dengan lapan tangkapan dibuat sejak sebulan lalu.
Beliau menambah, lapan suspek lelaki berusia antara 27 hingga 49 tahun itu adalah dalang dan ahli sindiket menyasarkan kenderaan mewah dan 4x4 untuk dijual di pasaran gelap luar negara.
Beliau berkata modus operandi sindiket itu adalah dengan menggunakan sejenis alat dipanggil ‘programmer’ untuk menghidupkan enjin mana-mana kenderaan.
“Mereka juga akan menggunakan alat dipanggil ‘jammer’ untuk mematikan semua peralatan GPS dan sebagainya dalam masa 30 saat saja sebelum mereka melarikan kenderaan berkenaan.
“Sindiket ini aktif sejak lima hingga enam bulan dan selalunya bergerak dalam kumpulan dua atau tiga orang dan menggunakan kereta yang disewa,” katanya, lapor Harian Metro.
Mengulas lanjut, Encik Kumar berkata berdasarkan statistik dari Januari lalu hingga kini, jumlah kehilangan kenderaan 4x4 dan kenderaan mewah di kontinjen itu adalah sebanyak 69 buah yang mana ia mengakibatkan kerugian RM8.8 juta ($2.54 juta).
Katanya, sasaran sindiket bagi 4x4 adalah Toyota Hilux, Toyota Alphard, Toyota Vellfire dan Toyota Fortuner yang mana kenderaan mewah serta 4x4 itu mempunyai permintaan di pasaran luar negara.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg