SEPANG: Polis menembak mati tiga penjenayah warga asing yang dikategorikan ganas dan berbahaya di Desa Vista, Sepang, Selangor, pada awal pagi 14 Mac.
Ketiga-tiga penjenayah lelaki berusia antara 35 hingga 40 tahun itu dilaporkan aktif melakukan 17 kes samun dan pecah masuk di sekitar Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur sejak awal 2024, lapor BH Online (Malaysia)
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus, berkata semua suspek dikesan bersembunyi di sebuah kawasan hutan selepas cuba menyamun sebuah kediaman di kawasan perumahan berhampiran di Desa Vista.
“Suspek ini dikesan selepas alat penggera keselamatan sebuah rumah yang menjadi sasaran kumpulan jenayah ini berbunyi sebelum pemiliknya menyedari kelibat individu bersenjata parang dan bertopeng.
“Menyedari kehadiran mereka (suspek) disedari pemilik rumah, suspek melarikan diri bersembunyi di kawasan hutan berhampiran sebuah tangki air.
“Pada masa sama, pemilik rumah telah menghubungi polis sebelum semua elemen Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) digerakkan untuk mengesan suspek secara serta-merta,” katanya kepada BHM di lokasi kejadian.
Datuk Fadil berkata hasil maklumat orang ramai dan risikan yang dijalankan, suspek dapat dikesan di kawasan hutan dan cuba menyerang pasukan polis dengan parang ketika cuba menahan menahan mereka.
“Susulan dari itu, pihak polis terpaksa melepaskan tembakan bagi tujuan mempertahankan diri. Ketiga-tiga suspek ini disahkan mati di lokasi kejadian,” katanya.
Suspek dianggap ganas dan berbahaya kerana mereka tidak teragak-agak untuk mencederakan mangsa yang cuba melawan mereka.
“Sebagai contoh dalam kes samun di Sungai Buloh, mangsa samun kumpulan ini cedera ditetak selepas dikatakan cuba melawan mereka.
“Berdasarkan maklumat risikan kita (polis) kumpulan penjenayah ini dipercayai terdiri daripada lima individu dan kami sedang mengesan saki-baki mereka,” ujar Datuk Fadil.
Siasatan awal mendapati semua suspek bergiat aktif dalam jenayah samun dan pecah masuk membabitkan kerugian kira-kira RM1 juta.
Mayat semua penjenayah berkenaan di hantar ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat, menurut Datuk Fadil.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg