KUALA LUMPUR: Enam lelaki yang disyaki mempromosi kegiatan kongsi gelap di wadah TikTok telah ditahan polis dalam beberapa serbuan di sekitar Selangor, pada minggu pertama Ramadan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata mereka yang ditahan berusia 20 hingga 40 tahun hasil risikan yang dibuat ke atas individu mempromosikan dakyah kongsi gelap di wadah Tik Tok, baru-baru ini.
Menurutnya, tangkapan membabitkan seorang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, dua di IPD Kajang, seorang di IPD Ampang, seorang di IPD Klang Utara dan seorang di IPD Gombak.
“Hasil siasatan dan tangkapan yang dilakukan mendapati tiga orang tiada rekod jenayah, manakala tangkapan di IPD Kajang mempunyai dua rekod jenayah.
“Suspek yang ditangkap di IPD Klang Utara pula mempunyai tiga rekod jenayah dan tangkapan di IPD Gombak mempunyai 12 rekod jenayah serta satu rekod dadah.
“Sebanyak enam kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966 atas kesalahan menyiarkan dakyah pertubuhan yang menyalahi undang-undang dan Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 atas kesalahan menganggotai pertubuhan haram,” katanya lapor Harian Metro.
Datuk Hussein berkata tangkapan di Kajang sudah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966, manakala lima tangkapan lagi masih dalam siasatan.
“Tindakan mengesan individu lain yang mempromosikan kegiatan kongsi gelap akan diteruskan dan pelaksanaan mekanisme operasi ini akan diteruskan dari semasa ke semasa di peringkat kontinjen.
“Selain tindakan penguatkuasaan undang-undang, operasi ini juga untuk memberi kesedaran kepada masyarakat, yang mana terdapat individu yang ditangkap dalam operasi ini tidak mengetahui tindakannya mempromosikan kongsi gelap sebagai satu kesalahan dan boleh ditahan,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg