Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis Terengganu: Tak perlu risau, perkampungan Ayah Pin terkawal

Mar 18, 2024 | 11:41 AM
Keadaan lengang di penempatan bekas ‘Kerajaan Langit’ Ayah Pin di Kampung Batu 13, Hulu Besut, Terengganu, ketika tinjauan pada 17 Mac petang.
Keadaan lengang di penempatan bekas ‘Kerajaan Langit’ Ayah Pin di Kampung Batu 13, Hulu Besut, Terengganu, ketika tinjauan pada 17 Mac petang. - Foto BERNAMA

KUALA TERENGGANU: Aktiviti di perkampungan pengasas ajaran sesat ‘Kerajaan Langit’ Ayah Pin di Kampung Batu 13, Besut, Terengganu, terkawal dan tidak menjejaskan keselamatan penduduk di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan, berkata pihaknya memantau rapat perkembangan di situ susulan laporan media mengenai dakwaan ada usaha menghidupkan kembali ajaran berkenaan.

“Setakat ini, aktiviti di perkampungan Ayah Pin di Kampung Batu 13, Besut, masih terkawal dan tidak mendatangkan implikasi kepada keselamatan penduduk setempat.

“Pihak polis sentiasa memantau ajaran Ayah Pin dan ajaran-ajaran sesat yang lain di negeri Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan pada 17 Mac, lapor Berita Harian Malaysia.

Sebelum ini, satu hantaran pada akaun Facebook ‘Imam Muda Kulan’ mendakwa ajaran Ayah Pin atau nama sebenarnya Ariffin Muhamad, cuba dihidupkan kembali oleh pihak tertentu di sekitar Besut.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) sebelum ini mengeluarkan fatwa ajaran Ayah Pin sesat mengikut Seksyen 25 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986 dan diwartakan haram pada 1997.

Datuk Mazli menasihatkan orang ramai supaya tidak gusar dengan perkembangan berkenaan.

“Sekiranya terdapat sebarang maklumat berkaitan isu keselamatan boleh hadir ke mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya.

Ayah Pin meninggal dunia di rumahnya di Hulu Besut, Terengganu, pada April 2016.

Sementara itu, seorang penduduk di situ menafikan dakwaan terdapat usaha menghidupkan semula ajaran sesat itu, lapor Bernama.

Beliau berkata perhimpunan yang sering dilihat itu adalah majlis keramaian dan kenduri yang dianjurkan ahli keluarga dan saudara-mara Ayah Pin termasuk yang terbaru majlis perkahwinan anak Ayah Pin pada Februari.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg