KAPIT (Sarawak): Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyatakan beliau berasa amat senang untuk bekerjasama dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perkara itu, katanya, adalah disebabkan rasa yakin dan percaya yang terbina di antara satu sama lain.
Berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Pemimpin Masyarakat di Rumah Robert Edmund, Nanga Sebatu, di sini sempena lawatan Datuk Anwar ke Kapit, beliau berkata Malaysia di bawah pentadbiran Perdana Menteri itu masih “manis” sebagaimana pada masa ia ditubuhkan pada 1963.
Beliau berkata Datuk Anwar banyak membantu usaha-usaha pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.
“Senang ini adalah disebabkan oleh yakin dan percaya satu sama lain. Macam saya kata, kita sentiasa bersatu padu menyokong kerajaan membangunkan wilayah kita,” kata Tan Sri Abang Johari, lapor Malaysiakini.
Sementara itu, Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Kapit, Datuk Alexander Nanta Linggi, ketika berucap di Majlis Ramah Mesra Bersama Pemimpin Komuniti Masyarakat di Dewan Suarah Kapit sebelum itu menyifatkan Datuk Anwar dan Tan Sri Abang Johari sebagai satu gandingan penuh keserasian dan saling menghormati serta persefahaman utuh dengan memegang satu tekad sama iaitu memulihkan dan mengangkat semula martabat Malaysia yang pernah dikenali sebagai ‘Harimau Asia’.
Datuk Nanta berkata usaha mengangkat martabat Malaysia itu bukan mudah, tetapi pasti boleh dilakukan.
Kejayaan yang dicapai Sarawak pada masa ini menurutnya tidak dapat berdiri sendiri tanpa kestabilan pentadbiran kerajaan pusat.
Beliau berkata kestabilan itu adalah hasil kejayaan usaha Datuk Anwar membawa Malaysia melakar landskap politik baru.
Pada acara itu, Tan Sri Abang Johari turut menggesa agar Kerajaan Persekutuan mengembalikan kuota 35 peratus ataupun satu pertiga daripada keseluruhan bilangan kerusi Parlimen kepada Sarawak dan juga Sabah.
Beliau berkata ia untuk mengelak Parlimen meminda Perlembagaan Persekutuan yang dapat menjejas kepentingan Sarawak dan juga Sabah.
“Ketika pembentukan Malaysia, gabungan kerusi Parlimen dari Singapura, Sarawak dan Sabah adalah melebihi satu pertiga.
“Namun apabila Singapura berpisah dari Malaysia, kerusi Parlimennya diambil Semenanjung tanpa diagihkan kepada Sarawak dan Sabah.
“Kepentingan serta hak Sarawak dan Sabah tidak akan terjamin berikutan gabungan kerusi kami di Parlimen adalah kurang daripada satu pertiga,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg