Warga Johor telah keluar mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 pada 11 Julai di tengah-tengah keprihatinan seperti isu kenaikan kos sara hidup dan kemampuan perumahan.

PRN yang diperhatikan dengan teliti itu menyaksikan pertembungan antara Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PRN Johor serta Negeri Sembilan yang akan datang dijangka menentukan hala tuju PH dalam pilihan raya umum yang perlu diadakan selewatnya Februari 2028.

Sehingga 5 petang, sekitar 67.44 peratus pengundi yang layak telah keluar mengundi.

Para pengundi di Sekolah Rendah Tanjung Puteri di Larkin, Johor, pada Hari Mengundi pada 11 Julai.
Para pengundi di Sekolah Rendah Tanjung Puteri di Larkin, Johor, pada Hari Mengundi pada 11 Julai. - Foto ST

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 1,809,185 daripada 2.6 juta pengundi berdaftar telah menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Peratusan itu jauh mengatasi kadar keluar mengundi pada waktu sama ketika PRN Johor 2022 yang merekodkan 53.13 peratus atau 1,367,909 daripada lebih 2.57 pengundi.

Awal dari itu, Menteri Besar Johor merangkap calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi, tiba di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Renggam pada sekitar 8.05 pagi.

Bercakap kepada pemberita selepas mengundi, beliau bersyukur proses pengundian berjalan lancar dengan cuaca yang baik serta suasana yang tenang di pusat mengundi.

Sementara itu, calon PH bagi DUN Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik, telah mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tuan Poon, Simpang Renggam, dan melahirkan harapan agar lebih ramai pengundi keluar menunaikan tanggungjawab kerana setiap undi amat penting.