Topik diikuti
Pergi ke BHkuPRN Johor: Tak perlu perdebatan, beri tumpuan dekati pengundi
PRN Johor: Tak perlu perdebatan, beri tumpuan dekati pengundi
PRN Johor: Tak perlu perdebatan, beri tumpuan dekati pengundi
ISKANDAR PUTERI: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan tidak ada keperluan untuk mengadakan dialog antara Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dengan calon Pakatan Harapan (PH) Dr. Maszlee Malik.
Datuk Mohamad menyifatkan agenda yang dimainkan PH yang mendesak debat itu dilakukan sebagai satu tindakan membuang masa ketika Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berbaki empat hari lagi.
Katanya adalah lebih baik semua calon-calon yang bertanding menumpukan kepada gerak kerja mendekati pengundi bagi meraih sokongan.
“Tak payah debat-debatlah, buat apa nak buang-buang masa berdebat-debat, kan?
“Buat kerja sajalah dan bagilah orang Johor buat keputusan. Dalam pada kita debat-debat, entah apa perkara yang kita cakap tak elok,” katanya, lapor Kosmo!.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Lima Kedai, di sini pada 6 Julai.
Menurut Datuk Mohamad, persiapan dan gerak kerja jentera BN tersusun setelah Umno sebagai terasnya mempunyai jentera akar umbi yang kuat.
“Saya lihat gerak kerja disusun dengan teratur dan dilakukan dengan baik. Dan kita mempunyai beberapa hari saja lagi untuk kita menyantuni seramai mungkin pengundi untuk meyakinkan mereka untuk memberikan sokongan kepada BN, insya-Allah,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilihat tidak berminat melayan cabaran debat daripada Encik Maszlee, sebaliknya menyindir bekas Menteri Pendidikan Malaysia itu supaya memberi tumpuan kepada kawasan yang ditandinginya sendiri.
Menteri Besar Johor itu menegaskan, Encik Maszlee yang kini bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa sepatutnya terlebih dahulu menjawab persoalan berkaitan janji terdahulu yang didakwa masih belum ditunaikan ketika mewakili Simpang Renggam.
Menurut beliau, isu berdebat bukan keutamaan apabila calon berkenaan sendiri didakwa masih mempunyai perkara yang perlu diperjelaskan kepada rakyat.
“Saya bukan berlawan dengan dia di Simpang Renggam. Dia lari dari Simpang Renggam kan?
“Jadi kalau dia nak berdebat ataupun dialog, dia pergilah dengan orang di sana (Puteri Wangsa). Apa kena-mengena dengan kawasan saya di Machap?” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program kempen BN di DUN Semerah.
Datuk Onn Hafiz turut mendakwa penduduk Simpang Renggam masih menanti beberapa janji yang pernah dibuat Encik Maszlee sebelum ini.
“Orang Simpang Renggam masih menuntut janji dia. Dia janji nak bagi tol percuma, sampai sekarang tidak ditunaikan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Datuk Onn Hafiz turut menolak dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan bagi membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau menyifatkan dakwaan itu sebagai naratif lama yang sengaja dimainkan bagi membangkitkan kemarahan rakyat terhadap BN.
“Tak ada kena-mengena dengan Datuk Seri Najib dan ini antara contoh hasutan yang dibuat kepada rakyat untuk bagi orang marah dan benci, tetapi Bangsa Johor tidak begitu.
“Kita lebih cerdik daripada apa yang mereka fikirkan dan lagi kuat naratif ini dimainkan, lagi ramai orang tidak percaya,” katanya.
