KUALA LUMPUR: Isteri bekas Perdana Menteri Malaysia, Cik Rosmah Mansor, mengecam tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Encik Nga Kor Ming, yang didakwa menggunakan wajah serta imej beliau dalam bahan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Cik Rosmah, isteri kepada Encik Najib Tun Razak itu menyifatkan Timbalan Pengerusi Kebangsaan Parti Tindakan Demokratik (DAP) itu menyebarkan propaganda murahan dan perbuatan tersebut memalukan kerana Encik Nga ialah seorang Menteri Persekutuan.

“Lebih memalukan, beliau (Encik Nga) ialah seorang Menteri Persekutuan.

“Sepatutnya seorang menteri menunjukkan contoh politik matang, bukan menyebarkan bahan fitnah dan manipulasi seperti budak pejabat parti yang terdesak mengejar undi,” kata beliau dalam satu kenyataan, lapor portal berita, MalaysiaGazette.

Cik Rosmah dipercayai merujuk kepada satu bahan kempen yang memaparkan wajahnya seiring mesej yang ditujukan kepada pengundi luar sempena PRN Johor.

Menurut Cik Rosmah, beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti yang terpapar dalam gambar tersebut.

“Ini pembohongan jelas, berniat jahat dan dibuat untuk mengelirukan pengundi,” tegas beliau.

Lantaran itu, Cik Rosmah mahu Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, mengambil tindakan terhadap Encik Nga.

“Kalau rakyat biasa boleh dikenakan tindakan kerana menyebarkan kandungan palsu, adakah seorang Menteri DAP kebal hanya kerana beliau berada dalam kerajaan.

“Saya tidak akan berdiam diri. Politik boleh berlawan, tetapi jangan jadi pengecut sampai perlu tunggu gambar orang lain dan cipta fitnah murahan untuk menipu rakyat,” katanya.

Sebelum ini, kempen PRN Johor turut diwarnai naratif yang mendakwa Encik Najib yang juga mantan Presiden Umno dan mantan Pengerusi BN yang sedang menjalani hukuman penjara, akan dibebaskan jika BN memenangi PRN Johor.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) merangkap Ketua Penerangan Umno, Datuk Seri Azalina Othman Said, menafikannya.

Beliau menegaskan tiada sebarang undang-undang di Malaysia yang membolehkan seseorang individu yang dipenjarakan, dibebaskan daripada hukuman hanya kerana keputusan pilihan raya.

Menurutnya, perkara berkaitan pembebasan atau pengampunan tidak akan ditentukan melalui pilihan raya, sebaliknya adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong Malaysia.

Encik Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang, Selangor, selepas disabitkan bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International bernilai RM42 juta ($13.31 juta) pada Julai 2020.