Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemimpin BN Johor gesa kempen berteraskan fakta, tolak fitnah
Pemimpin BN Johor gesa kempen berteraskan fakta, tolak fitnah
Seruan untuk waspada agar tidak keluarkan kenyataan mudah dimanipulasi
Pemimpin BN Johor gesa kempen berteraskan fakta, tolak fitnah
Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, pemimpin Barisan Nasional (BN) Johor menyeru agar kempen dijalankan berteraskan fakta, sekali gus menolak budaya politik yang menyebarkan maklumat tidak tepat.
Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Mad Shah, menegaskan bahawa pemimpin sewajarnya lebih cermat dalam berbicara agar tidak mengundang kekeliruan atau salah tanggap dalam kalangan masyarakat.
Katanya, setiap tutur kata harus disandarkan kepada fakta, bukannya didorong oleh emosi atau sekadar retorik politik yang kosong.
“Semua pihak perlu lebih berwaspada. Kita tidak mahu pemimpin yang dipilih rakyat terdorong oleh emosi, sehingga mengeluarkan kenyataan yang mudah dimanipulasi atau diputar belit,” ujarnya kepada Berita Harian (BH).
Mohd Hairi, yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, menambah bahawa budaya politik Johor yang harmoni dan berhemah tidak wajar dicemari dengan fitnah mahupun dakwaan tanpa asas.
Beliau turut mengingatkan bahawa kesilapan fakta semasa berkempen mampu meruntuhkan kredibiliti seorang pemimpin, meskipun permohonan maaf telah dipohon kemudiannya.
Sementara itu, Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, mempersoalkan dakwaan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Harapan (PH) di Johor tidak menerima sebarang manfaat atau peruntukan daripada kerajaan negeri.
Beliau berkata dakwaan sedemikian sukar diterima memandangkan wakil rakyat pembangkang sendiri terlibat dalam pelbagai urusan rasmi kerajaan negeri termasuk menghadiri mesyuarat dan mengemukakan permohonan bantuan.
“Saya tertanya-tanya sama ada mereka tidak tahu atau sengaja buat-buat tidak tahu. Mereka hadir mesyuarat, membuat permohonan dan berurusan dengan kerajaan negeri.
“Jadi apabila berdiri di atas pentas dan mendakwa Adun PH tidak mendapat apa-apa, saya benar-benar hairan,” katanya.
Datuk Mohd Jafni menjelaskan bahawa kerajaan negeri telah menyalurkan peruntukan tahunan berjumlah RM200,000 ($63,347) kepada setiap Adun pembangkang, selain memastikan penglibatan mereka dalam mesyuarat pembangunan di peringkat daerah mahupun negeri.
Beliau turut percaya bahawa masyarakat Johor kini mempunyai kematangan tinggi dalam menilai sebarang kenyataan politik, sekali gus mampu membezakan antara kebenaran fakta dengan persepsi yang sengaja dicipta demi kepentingan sokongan.
“Berpolitik dan mengkritik kerajaan adalah dibenarkan, namun biarlah ia berlandaskan fakta yang sahih. Jangan sesekali menyajikan rakyat dengan naratif yang kita sendiri sedia maklum akan ketidakbenarannya,” tambahnya lagi.
Sebelum ini, Penyelaras Parti Keadilan Rakyat (PKR) DUN Bukit Batu, Encik Arthur Chiong Sen Sern, telah mengemukakan permohonan maaf serta menarik balik kenyataannya yang mendakwa tiada peruntukan disalurkan oleh Kerajaan Negeri Johor kepada wakil rakyat pembangkang bagi tahun 2026.
Beliau mengakui berlaku kekhilafan dalam ucapan yang disampaikan semasa Program Pelancaran Jentera DUN Bukit Batu tersebut setelah penelitian lanjut dilaksanakan.
