Topik diikuti
Pergi ke BHkuPRN Johor: SPR akan teliti isu muat naik kertas undi di media sosial
PRN Johor: SPR akan teliti isu muat naik kertas undi di media sosial
PRN Johor: SPR akan teliti isu muat naik kertas undi di media sosial
ISKANDAR PUTERI: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan meneliti dengan lebih terperinci mengenai isu pengundi memuat naik gambar kertas undi yang sudah dipangkah di media-media sosial.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata pihaknya perlu memastikan terlebih dahulu sama ada tindakan itu dilakukan pengundi biasa ketika sedang mengundi dalam bilik saluran mengundi atau pun pengundi pos, lapor Berita Harian Malaysia.
“Kita ada melihat beberapa media sosial dan beberapa pihak ada yang pos gambar itu (kertas undi sudah dipangkah).
“Bagaimanapun, kita tidak dapat memastikan sama ada gambar-gambar itu memang diambil dalam bilik ketika undian biasa atau kita berpendapat mungkin ia dilakukan oleh pihak-pihak yang mengundi pos.
“Bagaimanapun, kita akan lihat perkara ini dengan lebih terperinci bagi memastikan pada masa akan datang terutamanya pada pengundi biasa, ia tidak berlaku lagi,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama SPR di Bangunan Sultan Ismail di sini, tengah malam 12 Julai.
Beliau berkata demikian ketika ditanya apakah tindakan SPR ke atas pengundi yang memuat naik kertas undi yang sudah dipangkah untuk tontonan umum.
Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Ramlan berkata, SPR akan meneruskan usaha berkongsi keputusan tidak rasmi bagi mana-mana pilihan raya menerusi perantaraan siaran langsung di media sosial.
Ini kerana, katanya, SPR mendapat maklum balas yang baik apabila mula melaksanakan inisiatif itu ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Kinabatangan yang lalu.
“Kita berkongsi maklumat yang kita ada kerana maklumat itu bukan lagi maklumat rahsia kerana ia diambil daripada Borang 14.
“Kita rasa lebih sesuai untuk berkongsi keputusan tidak rasmi mengikut data yang kita ada.
“Kita akan lihat secara terperinci jika ada apa isu-isu berkaitan, tetapi rasanya ia banyak memberi manfaat,” jelasnya.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 berakhir 11 Julai dengan menyaksikan Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan di 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pakatan Harapan hanya memenangi lapan kerusi DUN.
