PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) berhasrat mempertahankan semua 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang gabungan itu di Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16, tidak lama lagi.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perkara itu disuarakan oleh Ketua Menteri Melaka merangkap Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, yang berazam mempertahankan semua kerusi berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata BN terbuka untuk menjalin persefahaman dengan mana-mana pihak.

“Daripada 28 kerusi (DUN) di Melaka, maka Ketua Menteri, selaku Pengerusi BN Melaka, memaklumkan kepada saya beliau berazam untuk mempertahankan kedudukan seluruh 21 kerusi yang dimenangi itu.

“Pasti akan ada musyawarah antara semua pihak dan seperti dinyatakan oleh Ketua Menteri Melaka, beliau sangat terbuka.

“Kami kepimpinan BN di peringkat Pusat akan dirundingi untuk menjadi kata pemutus kepada sebarang persepakatan atau persefahaman yang akan dicapai,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Putrajaya, pada 6 Ogos.

Mengenai kebangkitan gelombang biru menyusuli kemenangan besar BN pada PRN Johor dan Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Zahid, berkata gelombang itu diharap dapat merebak ke seluruh Semenanjung.

“Bermula dari Johor menjalar ke Negeri Sembilan dan insya-Allah ke Melaka, kita lihat bagaimana (keadaan) geopolitik di negara kita menjelang PRU ke-16 (Pilihan Raya Umum Ke-16).

“Kita sebagai sebuah parti gabungan tetap berazam untuk merangkul dukungan daripada semua rakyat yang mungkin mahu merubah cita rasa politik,” katanya.

Sama ada gelombang itu akan membabitkan warna biru pekat yang dikaitkan dengan Perikatan Nasional (PN), beliau berkata ia bergantung pada keikhlasan dan kejujuran mereka.

“Ia bergantung kepada keikhlasan dan kejujuran mereka di dalam sebarang rundingan yang akan dilakukan.

“Kita sudah tetapkan di mana kerusi yang kita menang, kita tidak akan kongsi kerusi itu dengan mana-mana pihak,” katanya.

PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos lalu menyaksikan BN menjalin persefahaman sulung dengan PN dalam pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi, bagi mengelak pertembungan dan pecah undi.

Kerjasama itu berhasil apabila BN menang 18 daripada 25 kerusi ditanding, sementara PN yang diperuntukkan 11 kerusi memenangi tujuh kerusi DUN.