Topik diikuti
Pergi ke BHkuPRN Melaka: Kerjasama politik jadi faktor penentu, bayangi hala tuju PRU16
BN berpeluang kekalkan kuasa sementara PH berdepan cabaran susulan kemerosotan prestasi PRN Johor, N. Sembilan
PRN Melaka: Kerjasama politik jadi faktor penentu, bayangi hala tuju PRU16
Penganalisis menyifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 pada 14 November bukan sahaja sebagai medan ujian buat dua parti utama – Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) – mengukur pengaruh dan kekuatan masing-masing, bahkan juga sebagai petunjuk hala tuju kerjasama antara parti politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), yang dijangka berlangsung pada 2027.
Mereka turut melihat PRN Melaka bakal menyaksikan pertembungan antara blok Barisan Nasional (BN) – Perikatan Nasional (PN) yang ditunjangi Parti Islam SeMalaysia (PAS) – dengan gabungan PH yang diramalkan akan menjalin kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Bagi penganalisis, PRN Melaka juga akan menguji kemampuan BN untuk mempertahankan kuasanya di negeri itu, terutama selepas mencatat kemenangan besar dalam dua PRN sebelum ini iaitu semasa di Johor dan Negeri Sembilan.
Sementara PH – blok politik pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim – turut menjadi pentas ujian baharu buat gabungan itu, dalam percubaan untuk membaiki prestasi yang merosot teruk dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan, pada Julai dan Ogos lalu.
Penganalisis politik, Profesor Dr Azmi Hassan, berkata rakan kerjasama parti politik yang bertanding dalam PRN Melaka kali ini akan menjadi faktor penentu kemenangan parti yang bertanding.
Zamil Kanan Majlis Profesor Negara itu berkata berdasarkan perkembangan semasa, beliau optimis BN akan menjalin kerjasama dengan PN/PAS, berbanding bekerjasama dengan PH untuk PRN Melaka.
“Nampak gayanya kalau ikut desas-desus, hampir pasti kerjasama lebih cenderung terjalin antara BN dengan PAS dan Parti Wawasan Negara (Wawasan) selaku parti komponen PN.
“PH pula ketika ini dilihat cenderung untuk bergerak solo atau bersama Bersatu.
“Jadi untuk PH kembalikan aura mereka sebagaimana mereka pernah menang pilihan raya dan membentuk kerajaan Melaka pada 2018 hingga 2020, itu amat sukar sekali kerana impak positifnya pada pandangan saya milik BN buat ketika ini,” katanya kepada Berita Harian (BH).
PH pernah mentadbir Melaka selepas memenangi 15 kerusi ketika tsunami Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei 2018 di bawah kepimpinan Pengerusi PH Melaka, Encik Adly Zahari, sebagai Ketua Menteri ke-11.
Bagaimanapun, kerajaan PH Melaka tumbang pada Februari 2020 akibat krisis politik di peringkat Persekutuan dikenali sebagai Langkah Sheraton, yang menyaksikan Bersatu meninggalkan PH.
Pergolakan politik menyebabkan PRN Melaka diadakan pada 2021, dengan BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN ditandingi, sekali gus membentuk kerajaan negeri.
Sementara itu, PH memenangi lima kerusi menerusi DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah), dan dua lagi dimenangi PN.
Mengambil semangat Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, pada 2022, BN membentuk kerjasama dengan PH di Melaka, di mana Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PH turut dilantik ke jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan Timbalan Exco.
Namun, pada Julai lalu, lima Adun PH mengumumkan menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Negeri sebagai bantahan terhadap kelulusan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 yang memperkenalkan pelantikan Adun.
Profesor Azmi berkata sekiranya PH bekerjasama dengan BN semasa PRN Melaka nanti, gabungan itu berpotensi menyapu bersih semua tujuh kerusi daripada baki 21 kerusi yang akan ditandingi BN.
“Namun kalau Umno/BN bekerjasama dengan PAS/Wawasan, maka kehilangan kerusi yang dipegang oleh DAP itu satu kemungkinan.
“Senarionya bergantung pada bentuk kerjasama yang akan terjalin,” katanya.
Sebelum ini, Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, beberapa kali menegaskan pendirian gabungan itu untuk bertanding mempertahankan 21 daripada 28 kerusi DUN yang dimenangi pada PRN 2021.
Beliau menjadikan itu sebagai syarat utama dan garis sempadan dalam memilih rakan kerjasama untuk menghadapi PRN Melaka dan berdasarkan hubungan baik serta perkembangan politik semasa, PN/PAS dilihat bakal menjadi rakan kerjasama pilihan BN.
Ini bermakna, rakan kerjasama BN pada PRN Melaka nanti perlu bersedia untuk hanya bertanding di tujuh kerusi sahaja.
Kenyataan ini menguatkan jangkaan penganalisis bahawa PH tidak akan bekerjasama dengan BN kerana faktor pembahagian kerusi yang tidak seimbang.
Malah, sebahagian besar pimpinan dan akar umbi Umno termasuk pemimpin Umno di Melaka, lebih terbuka menyambut baik kerjasama BN dengan PN/PAS, atas dasar penyatuan ummah.
Ketika pintu rundingan mengenai rakan kerjasama antara parti-parti politik masih terbuka, Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Melaka merangkap Timbalan Pengerusi PH Melaka, Encik Khoo Poay Tiong, pula menyatakan pendirian untuk PH bertanding solo.
Bagaimanapun, setiausaha agung satu lagi parti komponen PH – Amanah, Encik Muhammad Faiz Fadzil, dilaporkan tidak bersetuju dengan pendirian DAP dan berpandangan PH wajar mencari rakan sekutu bagi membentuk kerajaan negeri yang stabil.
Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari, pula pada 8 Oktober, menyatakan gabungan itu hampir pasti akan bertanding sekurang-kurangnya 18 hingga 21 kerusi DUN pada PRN Melaka, sekali gus memperlihatkan kemungkinan kerjasama politik dengan Bersatu bakal terbentuk.
Namun, dalam masa yang sama Datuk Amirudin tidak menolak kemungkinan PH akan bertanding solo dan meletakkan calon di kesemua 28 kerusi DUN sekiranya keadaan memerlukan sedemikian.
Menurutnya, itu adalah antara beberapa senario yang sedang dipertimbangkan sebelum keputusan muktamad dibuat oleh Majlis Presiden PH.
Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Dasar, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Mazlan Che Soh, bersetuju bahawa bentuk kerjasama politik yang akan ditentukan parti-parti menjadi salah satu keunikan PRN Melaka kali ini.
“Dengan keadaan PN yang digantung Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) kerana isu dengan salah satu komponen PN – Bersatu, apakah jajaran politik menjelang penamaan calon pada 31 Oktober nanti?
“Itulah yang dinantikan ramai.
“Cuma saya berpendapat parti-parti politik ini perlu segera memuktamad jajaran politik ini kerana ia penting buat semua parti, akar umbi dan rakyat untuk tahu kedudukan masing-masing dengan lebih awal.
“Sekiranya perkara itu berlaku lebih lewat, ia sebenarnya satu kerugian kepada parti politik,” katanya.
Dr Mazlan dalam masa yang sama berpandangan, Umno/BN tidak perlukan rakan kerjasama untuk PRN Melaka, mengambil kira kedudukan parti itu sebagai antara kubu kuat BN, sama seperti Johor.
“Bagi saya, untuk BN kekalkan status quo di Melaka dengan bertanding solo pada PRN Melaka, tidak ada masalah.
“Tetapi mungkin mereka ada perkiraan tersendiri yang menyebabkan kerjasama politik dilihat sebagai satu langkah merekodkan keputusan PRN yang lebih baik,” katanya.
Dr Mazlan juga berpandangan PH masih mampu membawa cabaran sengit untuk PRN Melaka jika gabungan itu bertanding solo, tanpa perlu bekerjasama dengan Bersatu yang dilihatnya tidak mampu menawarkan sesuatu yang signifikan kepada PH.
“Peluang di situ tetap ada, tetapi untuk PH dapatkan semula momentum selepas kekalahan pada PRN Negeri Sembilan baru-baru ini, agak perit juga buat PH.
“PH kena tengok semula pemilihan calon, kekuatan jentera dan strategi parti dengan mendalam untuk bangkit semula,” katanya.
Profesor Azmi menambah kerjasama politik yang bakal terbentuk pada PRN Melaka dan keputusan pilihan raya itu bakal mempamerkan atau memberi mesej bentuk kerjasama antara parti yang akan diputuskan menjelang PRU16.
“Jika BN bekerjasama dengan PH dan BN kehilangan kerusi, sementara PH dapat menambah kerusi, maka BN akan berfikir adakah mereka memerlukan PH atau lebih baik bekerjasama dengan PN/PAS?
“Jadi keputusan ini akan memberi impak yang jauh ke hadapan iaitu PRU16,” katanya.
Selain jangkaan pertembungan BN/PN dan PH/Bersatu, Parti Bersama Malaysia (Bersama), yang diterajui mantan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli, turut mengesahkan akan bertanding di 15 daripada 28 kerusi DUN pada PRN Melaka.
Melihat kedudukan Bersama yang dipimpin mantan pemimpin PKR yang mempunyai pengaruh besar, Dr Mazlan melihat Bersama boleh memberi cabaran dan saingan pada PRN Melaka, namun belum ke tahap mampu memenangi kerusi.
“Bersama mungkin boleh beri sedikit cabaran, tapi saya tak yakin jugalah.
“Sakit juga bagi Bersama kerana masih di peringkat penjenamaan parti dan masih muda.
“Walaupun jumlah keahliannya terus meningkat, ia masih tidak mencukupi, sebab untuk memenangi PRN bukan soal idea dan ideologi sahaja, tetapi merangkumi segala kekuatan sumber dan jentera,” katanya kepada BH.
“
“Nampak gayanya kalau ikut desas-desus, hampir pasti kerjasama lebih cenderung terjalin antara BN (Barisan Nasional) dengan PAS (Parti Islam SeMalaysia) dan Parti Wawasan Negara (Wawasan) selaku parti komponen PN (Perikatan Nasional). PH (Pakatan Harapan) pula ketika ini dilihat cenderung untuk bergerak solo atau bersama Bersatu. Jadi untuk PH kembalikan aura mereka sebagaimana mereka pernah menang pilihan raya dan membentuk kerajaan Melaka pada 2018 hingga 2020, itu amat sukar sekali kerana impak positifnya pada pandangan saya milik BN buat ketika ini.”“
“Peluang di situ tetap ada, tetapi untuk PH dapatkan semula momentum selepas kekalahan pada PRN Negeri Sembilan baru-baru ini, agak perit juga buat PH. PH kena tengok semula pemilihan calon, kekuatan jentera dan strategi parti dengan mendalam untuk bangkit semula.”