MELAKA: Mantan Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Melaka, Encik Goh Leong San dan aktivis veteran kesatuan sekerja, Encik Gopal Kishnam, akan menyertai kempen Parti Bersama Malaysia (Bersama) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 ini.

Pemimpin Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli, berkata pembabitan kedua-dua tokoh berkenaan akan menjadi sebahagian daripada usaha kempen parti itu di Melaka.

“Bersama ingin mengumumkan pembabitan dua tokoh terkenal dalam kempen kami bagi PRN Melaka.

“Encik Goh yang pernah berkhidmat sebagai Pengerusi DAP Melaka dari 2005 hingga 2015 akan menyertai program kempen Bersama di Kesidang pada 7 November ini di Padang Taman Asean, Melaka,” katanya pada sidang media di Ruang Bersama Melaka di Batu Berendam, Melaka, lapor Berita Harian Malaysia.

Encik Goh yang juga mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP selama empat penggal pernah mewakili beberapa kawasan di Melaka sepanjang lebih dua dekad.

Beliau mula berkhidmat sebagai Adun Tengkera dari 1995 hingga 2004, sebelum mewakili Bandar Hilir dari 2004 hingga 2008, disusuli Kesidang dari 2008 hingga 2013 dan Duyong dari 2013 hingga 2018.

Sementara itu, Datuk Rafizi berkata Encik Gopal, tokoh veteran dalam gerakan kesatuan sekerja Malaysia dan kini Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-Pekerja Industri Peralatan Pengangkutan dan Industri Berkaitan Kebangsaan (NUTEAIW).

Beliau juga Setiausaha Agung sementara Persekutuan Kesatuan Sekerja Malaysia (MFTU) yang baru ditubuhkan serta bekas Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Datuk Rafizi berkata Encik Gopal secara rasmi menyertai Bersama sebagai ahli pada Oktober lalu.

PRN Melaka adalah pentas pilihan raya kedua disertai Bersama selepas Johor pada Julai lalu. Untuk PRN Melaka, Bersama mempertaruhkan 16 calon bertanding, berbanding keseluruhan 28 kerusi DUN Melaka yang dipertandingkan.

Bersama sebelum ini menegaskan parti itu akan bergerak sendirian dan tidak akan menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti politik untuk menyertai pilihan raya.

Datuk Rafizi berkata keputusan itu dibuat kerana parti berkenaan tidak mahu terjebak dalam percaturan politik yang menurutnya semakin mencelarukan rakyat.

Mantan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, itu berkata ahli dan penyokong Bersama sendiri mungkin tidak akan menerima sekiranya parti itu membuat keputusan menyertai gabungan lain.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti