Topik diikuti
Pergi ke BHkuPRN Melaka: Pemuda UMNO Johor gesa pengundi nilai prestasi BN, usah terpengaruh isu lain
PRN Melaka: Pemuda UMNO Johor gesa pengundi nilai prestasi BN, usah terpengaruh isu lain
Isu nasional seperti tahanan rumah Najib, Tabung Haji potensi pengaruhi PRN
PRN Melaka: Pemuda UMNO Johor gesa pengundi nilai prestasi BN, usah terpengaruh isu lain
Pengundi Melaka diseru menilai prestasi pentadbiran Barisan Nasional (BN) sejak 2021, terutama dalam pembangunan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat ketika membuat pilihan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ketua Pergerakan Pemuda Umno Johor, Encik Noor Azleen Ambros, berkata isu nasional yang dibangkitkan dalam kempen tidak seharusnya mengalihkan perhatian pengundi daripada pencapaian kerajaan negeri.
“Pengundi di Melaka diharap memberi fokus dan menilai dengan hati yang ikhlas prestasi dan juga pencapaian kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional sejak 2021,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan beberapa isu nasional mempengaruhi pengundi pada PRN Melaka, berbanding pengalaman pilihan raya di Johor dan Negeri Sembilan sebelum ini.
Antara isu yang dikemukakan adalah isu membabitkan istana Negeri Sembilan, tahanan rumah bekas Perdana Menteri Najib Tun Razak, serta pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji.
Encik Noor Azleen mengakui keadaan politik di Melaka berbeza daripada Johor dan Negeri Sembilan, dengan perkembangan isu nasional berpotensi dijadikan bahan kempen oleh pihak lawan.
Bagaimanapun, beliau berpandangan pengundi perlu memberikan perhatian kepada rekod pentadbiran negeri dan kesannya terhadap kehidupan mereka.
Mengulas kemungkinan kerjasama politik bagi menghadapi PRN Melaka, beliau berkata keputusan belum dibuat dan pilihan yang ada masih diteroka.
“Belum buat keputusan. Masih meneroka pilihan-pilihan yang ada. Pokoknya, 21 kerusi yang Umno dan Barisan Nasional pegang sekarang perlu dipertahankan,” katanya.
Bagi baki tujuh kerusi, beliau berkata potensi dan pilihan yang boleh diteroka masih diteliti sebagai persediaan menghadapi pilihan raya itu.
Ditanya mengenai peluang BN mencatat kemenangan besar, termasuk menguasai semua kerusi, Encik Noor Azleen menyatakan keyakinan dan sikap optimis.
BN menguasai 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka sebelum pembubarannya.
Terdahulu, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata gabungan itu berhasrat mempertahankan kesemua 21 kerusi berkenaan.
Menurut beliau, hasrat tersebut disuarakan Ketua Menteri Melaka merangkap Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Namun, BN kekal terbuka kepada perbincangan dan persefahaman dengan pihak lain bagi menghadapi pilihan raya itu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka ke-16, manakala penamaan calon berlangsung pada 31 Oktober dan pengundian awal pada 10 November.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari.
“Tempoh berkempen pula adalah 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon sehingga 11.59 malam pada 13 November,” katanya.
Pembubaran DUN Melaka berkuat kuasa pada 23 September, selepas diumumkan Datuk Seri Ab Rauf sehari sebelumnya.