Perikatan Nasional (PN) enggan terburu-buru soal kerusi yang mahu ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, walaupun Barisan Nasional (BN) - rakan kerjasamanya pada PRN Negeri Sembilan ke-16, mengumumkan mahu bertanding mempertahankan 21 kerusi disandang wakil parti itu.

Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa, berkata PN percaya kepada proses perundingan dan tidak mahu mendahuluinya. 

Menurutnya amatlah perlu untuk gabungan itu cermat membuat perhitungan dan tidak mudah lupa dengan kejayaan yang sudah dicapai pada PRN Negeri Sembilan, yang turut dianggap sebagai sebahagian ujian.

“Pucuk pimpinan BN dah isytihar nak bertanding hampir semua kerusi majoriti Melayu untuk mereka (di Melaka). Tinggal satu dua kerusi saja untuk parti-parti lain.

“Bagi PAS (Parti Islam SeMalaysia), kita serah (kepada) pucuk pimpinan dan tidak perlu terburu buru.

“Bagi PN saya percaya kita akan berbincang terlebih dahulu.Tidak perlu mendahului perundingan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada 6 Ogos.

Tan Sri Annuar yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, berkata PAS - komponen utama PN - akan menjalankan kajian sentimen rakyat di Melaka bagi memahami aspirasi pengundi di negeri itu.

“Bagi jentera dan Jabatan Pilihanraya PAS, kita akan buat kajian sentimen rakyat. Kita amat menghargai aspirasi rakyat Melaka,” kata mantan Setiausaha Agung Umno itu.

Terdahulu pada 6 Ogos, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan berkata BN Melaka berhasrat mempertahankan kesemua 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi parti itu sebelum ini, pada PRN Melaka akan datang.

Datuk Ahmad Zahid berkata hasrat itu disuarakan Ketua Menteri Melaka merangkap Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, yang bertekad mengekalkan penguasaan BN di kerusi berkenaan.

Sebelum ini, Pesuruhjaya PAS Melaka, Encik Zulkifli Ismail, juga dilaporkan berkata PAS berhasrat bertanding di 16 kerusi DUN pada PRN Melaka kali ini, mengambil kira .

Media Malaysia sebelum ini melaporkan, Pesuruhjaya PAS Melaka, Encik Zulkifli Ismail, berkata parti itu berhasrat bertanding di 16 daripada keseluruhan 28 kerusi DUN di negeri itu.

Menurutnya jumlah kerusi yang mahu ditandingi itu dianggap realistik menyusuli kemenangan calon PAS di kerusi Parlimen Jasin dan Tangga Batu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, pada 2022.

Biarpun BN menguasai 21 daripada keseluruhan 28 kerusi DUN Melaka, parti itu tidak memenangi sebarang kerusi Parlimen pada PRU 2022. PN pula setakat ini hanya memegang dua kerusi DUN.

Pada PRN Negeri Sembilan 1 Ogos lalu, BN-PN menang 25 kerusi menumbangkan Pakatan Harapan (PH) yang hanya memperoleh 11 kerusi, hasil persefahaman pembahagian 36 kerusi DUN yang ditandingi.