Topik diikuti
Pergi ke BHkuBN tegas pastikan Kerajaan Perpaduan stabil sehingga tamat penggal
BN tegas pastikan Kerajaan Perpaduan stabil sehingga tamat penggal
BN tegas pastikan Kerajaan Perpaduan stabil sehingga tamat penggal
PUTRAJAYA: Meskipun meraih momentum positif dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu di Johor dan Negeri Sembilan, Barisan Nasional (BN) menegaskan komitmen untuk memastikan Kerajaan Persekutuan terus kekal stabil sehingga tamat penggal pentadbiran.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, selaras dengan persefahaman politik yang sudah dipersetujui.
“Seperti berulang kali ditegaskan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kerajaan akan terus memegang janji bagi memastikan pentadbiran negara berjalan dengan baik sehingga penghujung penggal,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Karisma Antarabangsa: Kenegaraan Malaysia Madani di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), di Putrajaya, pada 3 Ogos.
BN dan PH bekerjasama di peringkat Persekutuan sebagai gabungan utama dalam Kerajaan Perpaduan, namun menjadi seteru di PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Dalam pada itu, beliau mengharapkan trend sokongan rakyat terhadap BN yang bermula di Johor dan diteruskan di Negeri Sembilan itu dapat dikekalkan pada pilihan raya akan datang.
Selain PRN Melaka yang akan datang, katanya momentum sama juga diperlukan sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Dalam pada itu, Datuk Zambry berkata persefahaman diwujudkan antara parti adalah berasaskan persefahaman politik dan sebarang keputusan berkaitan kerjasama pada masa depan akan dibincangkan di peringkat tertinggi BN serta Umno.
Beliau berkata kemenangan BN di Johor dan Negeri Sembilan menjadi suntikan semangat kepada parti, namun semua pihak supaya diingatkan tidak terlalu yakin atau bersikap angkuh menjelang PRU16.
Menurutnya ketika berdepan PRN Negeri Sembilan, BN mengambil pendekatan sebagai ‘underdog’ seperti sering diingatkan Datuk Ahmad Zahid, selain mengamalkan kempen sederhana tanpa menyerang pihak lawan.
“Kita menggunakan pendekatan sederhana dan memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan kestabilan. Sebab itu kita melihat rakyat memberikan sokongan kepada BN,” katanya.
Pada PRN Johor 11 Julai lalu, BN mengekalkan penguasaan dengan keputusan yang lebih baik apabila memenangi 48 dari 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan.
Sementara pada PRN Negeri Sembilan 1 Ogos lalu, BN yang buat julung kali menjalin persefahaman pembahagian kerusi dengan gabungan pembangkang – Perikatan Nasional (PN) berjaya memenangi 18 daripada 25 kerusi ditandingi.
Sementara PN menang tujuh daripada 11 kerusi ditandingi, sekali gus membolehkan kededua gabungan itu menumbangkan Pakatan Harapan (PH) dan membentuk kerajaan negeri selepas menang majoriti dua pertiga menerusi 25 daripada keseluruhan 36 kerusi.
PH pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hanya memenangi 11 kerusi daripada 36 kerusi ditandingi.