Topik diikuti
Pergi ke BHkuPH tubuh jawatankuasa bincang kerjasama politik dengan BN untuk PRN Melaka
Ahli Majlis Umno bagaimanapun dipetik sebagai berkata kerjasama BN, PN semasa PRN Negeri Sembilan mungkin diteruskan
KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) menyerahkan kepada sebuah jawatankuasa yang dibentuk untuk membincangkan soal kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi.
Pengerusi PH yang juga Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shaari, dan Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengetuai rundingan itu.
“Itu memang (dibincangkan oleh) jawatankuasa biasa. Kita sudah ada Amiruddin dan Saifuddin untuk bincang,” katanya ketika ditanya sama ada persetujuan sudah dicapai untuk membentuk kerjasama dengan BN dalam PRN Melaka akan datang, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Beliau ditemui media selepas merasmikan Sidang Kemuncak TikTok Shop Malaysia 2026 di Kuala Lumpur, pada 20 Ogos.
Sebelum ini, Datuk Saifuddin dilaporkan berkata PH terbuka kepada perbincangan untuk bekerjasama dengan BN bagi menghadapi PRN Melaka.
Beliau berkata perkara itu akan diputuskan selepas mengadakan perbincangan lanjut dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abd Rauf Yusoh.
Melaka dijadual mengadakan PRN dalam tempoh terdekat berikutan penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) akan berakhir pada akhir tahun 2026.
Persoalan mengenai kerjasama antara BN dan PH pada PRN Melaka masih belum dimuktamadkan, sekali gus membuka kemungkinan BN meneruskan kerjasama dengan PN yang dimulakan pada PRN Negeri Sembilan yang lalu.
Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, berkata jajaran politik baharu BN dan Perikatan Nasional (PN) yang terbentuk di Negeri Sembilan mungkin akan diteruskan pada PRN Melaka.
Beliau berkata perkara itu bagaimanapun akan dibincang dan diputuskan dalam Mesyuarat MKT pada 28 Ogos ini.
Beliau berkata, mesyuarat yang akan dipengerusikan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, itu akan membincangkan secara serius strategi terbaik bagi memastikan kemenangan BN pada PRN Melaka.
“Setakat ini belum ada keputusan muktamad mengenai hala tuju politik BN di Melaka, termasuk membentuk kerjasama dengan mana-mana parti.
“Apa yang berlaku ketika ini hanyalah perbincangan dalam media serta kenyataan beberapa pihak berhubung kemungkinan jajaran politik membabitkan BN, PH dan PN.
“Saya melihat tarikh 28 Ogos adalah tarikh yang penting dan tentunya segala isu berkaitan Melaka dan segala perkara mengenai PRN Johor dan Negeri Sembilan akan dilaporkan,” katanya, lapor BHM.

