Topik diikuti
Pergi ke BHkuPRN Melaka: Umno fokus perkukuh muafakat dengan PAS
Isu lama bukan penghalang untuk bina kesefahaman, kemakmuran rakyat lebih penting
PRN Melaka: Umno fokus perkukuh muafakat dengan PAS
MELAKA: Umno tidak mahu lagi terperangkap dengan isu ‘titik bengik’ (perkara remeh) atau pertelingkahan lama dengan Parti Islam SeMalaysia (PAS), yang cuba dibangkitkan semula pihak tertentu.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata sebaliknya parti itu memilih untuk terus bergerak ke hadapan demi memperkukuh kerjasama politik dan memastikan kemakmuran rakyat.
Datuk Asyraf Wajdi berkata segala perbezaan dan isu berbangkit sebelum ini tidak lagi menjadi halangan kepada usaha membina persefahaman serta memperkukuh semangat muafakat antara parti.
Beliau berkata semua pihak sudah mencapai kesepakatan untuk mengetepikan perkara lalu dan memberikan tumpuan kepada agenda lebih besar, khususnya kepentingan rakyat serta masa depan negeri dan negara.
“Saya rasa tak ada masalah sangat sebab kita dah sepakat, maknanya perkara yang lepas kita biarkan berlalu.
“Sudah tentu dalam usaha kita bermuafakat ini, kita harus bergerak ke depan,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah Gelombang Biru sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor, di Tangga Batu, Melaka, pada malam 9 November.
Mengulas usaha pihak tertentu yang cuba mengungkit kembali isu dan perselisihan lama, Datuk Asyraf Wajdi berkata tindakan sedemikian bukan sesuatu yang mengejutkan.
Malah menurut beliau ia tidak sedikit pun menjejas semangat kepemimpinan serta jentera parti.
Katanya cubaan menghidupkan kembali nostalgia politik lampau juga tidak membawa sebarang makna kerana semua pihak kini lebih yakin terhadap kepentingan kerjasama yang sedang dibina.
“Dan sebab itu, kita tak hairan usaha pihak lain yang cuba ‘mengapung-apungkan’ kisah silam, itu biasa, tetapi yang penting kita dapat lihat pimpinan dan juga jentera kedua-dua parti (Umno dan PAS) tidak pun sedikit berasa terkesan.
“Usaha untuk mengeluarkan segala nostalgia lama tidak memberi apa-apa makna, sebab mereka (jentera) melihat dan mereka yakin bahawa kita harus bergerak ke depan,” katanya.
Datuk Asyraf Wajdi berkata keyakinan terhadap semangat muafakat itu turut didorong oleh aspirasi rakyat yang mahu melihat kestabilan politik diterjemahkan kepada pembangunan dan kemakmuran.
Katanya kepentingan rakyat perlu menjadi keutamaan, berbanding usaha mengungkit kembali pertelingkahan yang tidak lagi relevan dengan landskap kerjasama politik ketika ini.
“Bergerak ke hadapan, rakyat mahukan pemuafakatan ini demi kemakmuran negeri dan negara secara keseluruhannya,” katanya.