ALOR GAJAH (Melaka): Kerjasama jentera Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang semakin positif pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, disifatkan petanda baik, sekali gus mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap calon diketengahkan.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata kerjasama itu menunjukkan perkembangan lebih baik berbanding ketika PRN Negeri Sembilan apabila jentera kededua gabungan berkempen secara berasingan.

Menurutnya perkembangan positif itu dapat dilihat di Melaka apabila jentera BN dan PN turut bersama-sama dalam program kempen, terutama ceramah pada sebelah malam.

Katanya jentera PN membantu di kawasan yang ditandingi BN, manakala jentera BN turut diarahkan memberikan sokongan penuh di kawasan yang ditandingi PN.

“Kebiasaannya pada sebelah malam, kita dapat melihat wakil jentera, pengundi dan penyokong tanpa mengira parti, terutama BN dan PN.

“Di kawasan yang ditandingi BN, kita dapat melihat jentera PN turut membantu. Begitu juga, saya dan pimpinan mengarahkan jentera BN di kawasan yang ditandingi PN supaya memberikan bantuan sepenuh hati,” katanya, lapoar Berita Harian Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program santai bersama pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, Melaka, di Bilik Gerakan Taman Angkasa Nuri, Melaka, pada 3 November.

Turut hadir, calon BN bagi DUN Durian Tunggal, Datuk Dr Mustafa Musa dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk Zahari Khalil.

Datuk Asyraf Wajdi berkata suasana kempen BN di Melaka juga dilihat lebih tenang dengan pendekatan yang menumpukan kepada prestasi dan rekod perkhidmatan, berbanding menjadikan serangan terhadap pihak lawan sebagai keutamaan.

Menurutnya, rakyat boleh menilai sendiri prestasi pentadbiran Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta khidmat 21 Adun BN yang diberikan mandat pada pilihan raya lalu.

Malah, katanya terdapat calon Pakatan Harapan (PH) yang mengakui prestasi pentadbiran BN sukar untuk dikritik.

“Cuma mereka memainkan sentimen perkauman, kebencian dan ketakutan seolah-olah apabila BN bersama PN hari ini, kaum lain akan ditindas.

“Semua ini adalah sentimen yang cuba dimainkan untuk membentuk persepsi dan emosi supaya rakyat marah serta melupakan soal prestasi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata rakyat Melaka bijak menilai dan mahukan kerajaan yang bertanggungjawab, selain berharap pihak yang dipilih kelak mengambil contoh kepimpinan terdahulu yang membantu rakyat tanpa mengira kaum.

Datuk Asyraf Wajdi turut mengingatkan jentera parti supaya berkempen secara berhemah tanpa menghina, mengeji, memfitnah atau membuat tohmahan terhadap pihak lawan sepanjang tempoh berkempen.