Topik diikuti
Pergi ke BHkuFahami PRN Negeri Sembilan ke-16
Fahami PRN Negeri Sembilan ke-16
Fahami PRN Negeri Sembilan ke-16
Selepas Johor selesai memilih pada 11 Julai lalu dengan Barisan Nasional (BN) mengekalkan penguasaan, warga Negeri Sembilan pula akan menentukan kerajaan negeri baharu untuk tempoh lima tahun akan datang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16, 1 Ogos ini.
Pengundian awal membabitkan anggota polis dan tentera pula telah selesai diadakan pada 28 Julai.
Pada Hari Penamaan Calon 18 Julai lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan seramai 103 calon yang mengemukakan kertas pencalonan, layak bertanding bagi merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan.
Untuk PRN kali ini, yang diadakan lebih awal daripada tempoh tamat penggal yang dijadual pada September 2028, seramai 889,490 pemilih layak mengundi.
KENALI NEGERI SEMBILAN
Negeri Sembilan yang terletak kira-kira 80 kilometer dari ibu negara Kuala Lumpur dan 40 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang di Selangor, menempatkan penduduk sekitar lebih 1.24 juta orang.
Negeri yang berjiran dengan Selangor serta Melaka, itu mempunyai keluasan sekitar 6,642 kilometer persegi, hampir sembilan kali ganda saiz Singapura.
Negeri Sembilan juga mempunyai keunikan tersendiri kerana menjadi satu-satunya negeri di Malaysia yang mengamalkan Adat Perpatih.
Ia adalah sistem pemerintahan berasaskan adat yang meletakkan Yang di-Pertuan Besar sebagai ketua negeri, berbeza daripada negeri-negeri Melayu lain yang diketuai Sultan.
Di bawah Adat Perpatih, Yang di-Pertuan Besar dipilih oleh empat Undang (pembesar adat dan ketua daerah) bersama Tunku Besar Tampin, berlainan dengan sistem pewarisan takhta Sultan di negeri lain mengikut Adat Temenggong.
Institusi Raja dan Adat ini turut memainkan peranan seimbang dalam pelantikan Menteri Besar.
Keunikan sistem itu mencuri perhatian sejak April lalu, berikutan pertikaian takhta selepas empat Undang menggunakan kuasa mereka untuk menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan menamakan pengganti lain.
Pertikaian itu mencetuskan krisis Adat, Raja dan Perlembagaan yang berlarutan di negeri berkenaan, yang kemudian mencetus kemelut politik apabila blok Umno/Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar dari PH, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Blok politik pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, itu menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan sejak pilihan raya 2018, selepas kejatuhan Umno/Barisan Nasional (BN).
PARTI BERTANDING
Jika pada PRN 2023 PH dan BN bertanding sebagai sekutu menentang blok pembangkang, Perikatan Nasional (PN), kali ini PH bertanding di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
Sementara BN sekutu PH di peringkat Persekutuan, memilih bekerjasama dengan PN menerusi persefahaman pembahagian kerusi, dengan BN bertanding di 25 kerusi, manakala PN di baki 11 kerusi.
PRN Negeri Sembilan juga menjadi pentas mengukur kekuatan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang buat julung kali bertanding menggunakan logo sendiri dan akan bertembung dengan PN di lapan kerusi DUN.
Keputusan Bersatu bertanding solo itu menyusuli ketidaktentuan kedudukan parti itu dalam PN, selepas Parti Islam SeMalaysia (PAS) menamatkan kerjasama politik dengan parti pimpinan mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.
Pada masa sama, komponen baru PN – Parti Wawasan Negara (Wawasan) yang dipimpin mantan Timbalan Presiden Bersatu yang dipecat, Datuk Seri Hamzah Zainudin, membuat penampilan sulung dalam pilihan raya di PRN Negeri Sembilan dengan bertanding di empat kerusi.
Sementara Parti Bersama Malaysia (Bersama) diterajui mantan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli, selain parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), tidak bertanding selepas gagal memperoleh sokongan mencukupi pada PRN Johor sehingga kehilangan deposit pilihan raya.
Selain gabungan utama PH, BN dan PN, beberapa parti lain turut meletakkan calon bertanding dalam PRN Negeri Sembilan ini iaitu Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa); Parti Orang Asli Malaysia (Asli); Parti Sosialis Malaysia dan calon Bebas.
Sebanyak 21 kerusi akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru, manakala dua kerusi lagi masing-masing akan menyaksikan pertandingan empat dan lima penjuru.
SIAPA TADBIR
Malaysia mempunyai dua badan perundangan utama, iaitu Parlimen di peringkat Persekutuan dan DUN di peringkat negeri.
Parti yang menguasai majoriti kerusi di Parlimen berhak membentuk Kerajaan Persekutuan dan menamakan seorang Perdana Menteri daripada kalangan Ahli Parlimennya.
Sementara untuk PRN Negeri Sembilan, parti yang berjaya memenangi majoriti mudah 19 kerusi layak menubuhkan Kerajaan Negeri, serta mencalonkan seorang Menteri Besar, tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Pada PRN Negeri Sembilan, 2023, PH yang bertanding sebagai sekutu BN memenangi 17 daripada 36 kerusi DUN, manakala Umno/BN memenangi 14 kerusi dan PN lima kerusi.