Topik diikuti
Pergi ke BHkuPRN Negeri Sembilan: BN-PN raih momentum ke Putrajaya, PH berdepan cabaran rebut semula undi Melayu
PRN Negeri Sembilan: BN-PN raih momentum ke Putrajaya, PH berdepan cabaran rebut semula undi Melayu
PRN Negeri Sembilan: BN-PN raih momentum ke Putrajaya, PH berdepan cabaran rebut semula undi Melayu
Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 bukan sekadar menyaksikan Barisan Nasional (BN) kembali menguasai pentadbiran Negeri Sembilan selepas lapan tahun, menerusi kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).
Malah ia mengukuhkan keyakinan bahawa kerjasama kededua gabungan itu mampu menjadi pencabar utama untuk menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, menurut penganalisis.
Pada masa sama, penganalisis berpandangan kegagalan Pakatan Harapan (PH) mempertahan Negeri Sembilan mencerminkan cabaran berterusan gabungan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, itu termasuk isu politik identiti terutamanya dalam meraih sokongan pengundi Melayu, selain isu-isu nasional yang gagal ditangani.
BN-PN GABUNGAN SELESA
Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur, Profesor Madya Dr Mazlan Ali, berkata persefahaman BN-PN yang bermula secara tidak rasmi di Johor dan kini diteruskan di Negeri Sembilan memberi indikasi kepada bentuk kerjasama politik PRU akan datang.
“Daripada beberapa kenyataan pimpinan BN, termasuk pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, jelas menunjukkan BN semakin selesa dengan kerjasama bersama PN.
“Saya tidak menolak kemungkinan bahawa dalam PRU akan datang, kita akan melihat satu blok baharu BN-PN berdasarkan kejayaan awal yang telah membuahkan hasil yang agak baik kepada mereka di Negeri Sembilan,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Dalam keputusan rasmi PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos, BN-PN memenangi 25 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi, sekali gus membolehkan gabungan itu membentuk kerajaan negeri bersama.
Dalam PRN Negeri Sembilan, BN membentuk persefahaman pembahagian kerusi dengan blok pembangkang, PN, untuk mengelak pertembungan dan memecah undi yang turut menjadi antara faktor kemenangan gabungan itu.
BN hanya bertanding di 25 kerusi dan memenangi 16 kerusi menerusi Umno manakala dua lagi menerusi satu lagi parti komponennya, Persatuan Cina Malaysia (MCA). Keputusan itu lebih baik berbanding PRN 2023 apabila Umno/BN hanya memenangi 14 kerusi.
Sementara itu, gabungan PN diperuntuk 11 kerusi dengan masing-masing lima kerusi diwakili calon Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan tiga lagi menerusi penyertaan sulung Parti Wawasan Negara (Wawasan) dalam pilihan raya, selepas sah menjadi anggota baru PN pada 14 Julai.
Prestasi PN juga lebih baik berbanding hanya memenangi lima kerusi semasa PRN Negeri Sembilan 2023.
PH pula merosot dengan memenangi hanya 11 kerusi berbanding 17 kerusi semasa PRN 2023.
Dr Mazlan berkata walaupun masih terlalu awal untuk meramalkan landskap politik Persekutuan, keputusan PRN Negeri Sembilan dijangka meningkatkan tekanan supaya PRU diadakan lebih awal.
Menurutnya, apabila BN merasakan sokongan rakyat semakin memihak kepada mereka, secara semula jadi gabungan itu akan melihat ketika ini sebagai masa terbaik untuk menguji kekuatan di peringkat nasional.
“Suasana politik ketika ini, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu, dilihat semakin memihak kepada BN-PN. Dalam politik, setiap parti akan cuba memanfaatkan momentum yang ada kerana jika ia tidak dimanfaatkan, peluang itu mungkin tidak akan datang lagi,” katanya.
UNDI MELAYU PENENTU
Mengulas kemerosotan prestasi PH, khususnya Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang hanya memenangi 11 kerusi, Dr Mazlan berkata gabungan itu masih berdepan cabaran besar untuk meraih sokongan pengundi Melayu, terutama di kerusi campuran dan kawasan yang secara tradisinya dikuasai BN.
Menurutnya dalam landskap politik Malaysia, sokongan pengundi Melayu masih menjadi faktor penentu kemenangan, justeru kegagalan DAP menembusi kelompok itu memberi kesan besar terhadap prestasinya dalam PRN Negeri Sembilan.
“Kita lihat contohnya kekalahan Setiausaha Agung DAP, Encik Anthony Loke, di DUN Chennah. Ia menunjukkan apabila DAP gagal menarik sokongan pengundi Melayu, ia memberi tamparan besar kepada parti itu.
“Saya percaya berlaku peralihan sokongan pengundi Melayu daripada DAP, selain parti itu juga perlu menilai semula strategi serta naratif kempennya supaya lebih sesuai dengan landskap politik semasa,” katanya.
Beliau juga tidak menolak krisis membabitkan institusi diraja dan Adat Perpatih memberi kesan kepada keputusan pilihan raya.
Penganalisis politik, Profesor Dr Azmi Hassan, pula berpandangan keputusan PRN Negeri Sembilan mencerminkan rasa tidak puas hati sebahagian pengundi terhadap prestasi PH di peringkat Persekutuan, sekali gus memberi tamparan kepada kepimpinan Datuk Anwar.
Beliau berkata sentimen itu diterjemahkan menerusi penolakan terhadap PH di peringkat negeri apabila pengundi memilih gabungan BN-PN yang melanjutkan persefahaman dengan lebih baik di Negeri Sembilan, selepas cubaan PAS bekerjasama dengan BN di Johor tidak berhasil.
“Daripada keputusan ini, saya melihat kemarahan pengundi di Negeri Sembilan mungkin mencerminkan sentimen yang lebih meluas di peringkat nasional terhadap keprihatinan PH sebagai kerajaan Persekutuan,” katanya kepada BH.
Bagaimanapun, Pengarah Pilihan Raya PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Amirudin Shari, semasa sidang media menyusuli keputusan PRN itu, menafikan kegagalan isu nasional atau prestasi pentadbiran Kerajaan Persekutuan menjadi punca kekalahan PH di Negeri Sembilan.
Beliau yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebaliknya menjelaskan kekalahan PH adalah kerana naratif kempen politik identiti dan perkauman yang disifatkan berada pada tahap luar biasa.
Menurut Menteri Besar Selangor itu, politik identiti dan perkauman hampir sepenuhnya menyemai unsur perpecahan sehingga mencetuskan kegelisahan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.
Profesor Azmi bersetuju PRN Negeri Sembilan banyak dipengaruhi politik identiti dan sentimen yang berlaku di Johor berulang di Negeri Sembilan apabila ramai pengundi Melayu memberikan sokongan kepada kerjasama politik antara BN dengan PN.
“Bagi saya, faktor kemenangan BN-PN adalah hasil kerjasama dijalinkan. Tetapi kalau kita lihat pengundi Melayu berbanding Cina, pengundi Melayu lebih ramai keluar mengundi.
“Sebab itu (Encik) Loke kalah di DUN Chennah sebab pengundi Melayu yang mewakili 66 peratus keluar mengundi, tetapi memilih BN-PN.
“Jadi bagi saya, ini adalah politik atau pun pilihan raya identiti iaitu pilihan raya yang berteraskan identiti atau dalam bahasa pasarnya, berteraskan bangsa dan agama, dan berjaya menyatukan undi Melayu,” katanya sambil menambah peratusan keluar mengundi turut membantu kemenangan BN-PN.
Tambah Profesor Azmi, bagi menghadapi PRU akan datang, PH perlu mencari formula baharu untuk meningkatkan sokongan pengundi Melayu kerana ketika ini gabungan itu dilihat sukar menandingi kekuatan BN-PN.
Menurutnya, PH juga memerlukan rakan politik yang mampu membantu menarik sokongan pengundi Melayu.
Namun katanya pilihan itu semakin terhad berdasarkan prestasi parti-parti lain dalam PRN Negeri Sembilan, terutamanya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang tewas di semua 24 kerusi yang ditandingi, malah kehilangan deposit kerana gagal memperoleh undi minimum.
“PH dilihat tidak cukup menyerlah untuk menandingi kerjasama BN-PN. Mereka memerlukan rakan yang mampu menarik undi Melayu, tetapi pilihan yang ada ketika ini sangat terhad,” katanya.
POLITIK IDENTITI PENGARUHI UNDI
Sementara itu, Profesor Kehormat Sains Politik, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid, juga melihat keputusan PRN Negeri Sembilan menunjukkan politik identiti masih menjadi faktor dominan dalam menentukan corak pengundian, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu Islam.
Menurut beliau keadaan itu berlaku meskipun Malaysia telah melalui hampir tujuh dekad kemerdekaan dan mencapai pelbagai kemajuan dari segi ekonomi serta pembangunan.
Menurutnya, walaupun ramai berpendapat politik negara sepatutnya lebih tertumpu kepada prestasi pentadbiran, ekonomi dan kebajikan rakyat, hakikatnya sentimen identiti masih menjadi pertimbangan utama sebahagian besar pengundi.
“Walaupun banyak pihak menekankan kepentingan politik berasaskan prestasi dan ekonomi, pada akhirnya masyarakat masih mengutamakan politik identiti berasaskan kaum dan agama, terutama apabila mereka merasakan kedudukan mereka sedang terancam,” katanya kepada BH.
Sambil turut memberi contoh kekalahan mantan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun di kerusi DUN Linggi yang pertama kali ditandinginya selepas meninggalkan kerusi tradisinya di DUN Sikamat, keadaan itu menjelaskan mengapa rekod pentadbiran yang baik semata-mata tidak lagi mencukupi untuk menjamin kemenangan seseorang calon.
“Tarikan peribadi dan rekod pentadbiran yang baik tidak lagi mencukupi apabila sebahagian masyarakat Melayu merasakan kepentingan kaum mereka sedang terancam,” katanya.
Beliau berkata keadaan sama turut dapat dilihat menerusi prestasi DAP apabila sentimen politik identiti menjadi lebih dominan sepanjang kempen pilihan raya.
Dalam PRN Negeri Sembilan kali ini, DAP menang di sembilan daripada 11 kerusi yang ditandingi parti itu. Ia menunjukkan penguasaan PH menerusi DAP di kawasan bukan Melayu masih sukar digugat.
Dalam pada itu, Profesor Ahmad Fauzi turut melihat keputusan PRN Negeri Sembilan ke-16 sebagai satu lagi langkah penting yang mengukuhkan kedudukan PAS untuk memperluas pengaruhnya di negeri-negeri Pantai Barat.
Sebagai parti majoriti Melayu/Islam, PAS ketika ini bertapak kukuh di negeri majoriti Melayu seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah sebagai Kerajaan Negeri, selain Perlis yang bertukar Menteri Besar daripada PAS kepada Bersatu pada 2025.
“PAS sudah tentu akan menjadi rakan yang bersedia memainkan peranan dalam kerjasama dengan BN, sekurang-kurangnya untuk membantu menembusi negeri-negeri di Pantai Barat.
“Empat kerusi yang dimenangi PAS di Negeri Sembilan merupakan satu pencapaian yang cukup memberangsangkan dan boleh menjadi platform untuk parti itu terus memperluas pengaruhnya di Pantai Barat.
“Kita lihat pula bagaimana perkembangan itu diterjemahkan semasa PRN Melaka selepas ini,” katanya lagi.