KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, mengulangi keyakinannya terhadap kemampuan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan rakan kerjasamanya, Pakatan Harapan (PH) untuk memenangi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah.
Katanya, walaupun banyak cabaran dan dakyah tidak baik dilemparkan pembangkang terhadap kerajaan GRS-PH, jentera gabungan itu dengan sokongan semua pimpinan parti akan memastikan rakyat tidak terpesong.
“Kita sudah sedia dengan jentera pilihan raya GRS dan saya amat yakin jika kita bersatu, kita akan mencapai kejayaan pada pilihan raya itu nanti,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Khas Bersama Ketua-Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada 8 Oktober.
Dalam masa yang sama, Datuk Hajiji mengingatkan pimpinan Gagasan Rakyat supaya bekerja keras memastikan kemenangan calon GRS-PH pada pilihan raya nanti.
Katanya, kerjasama semua pimpinan parti, termasuk Ketua Bahagian sangat penting bagi memastikan kemenangan GRS untuk kembali menerajui kerajaan Sabah.
Beliau yang juga Presiden Gagasan Rakyat mengingatkan mengenai kepentingan pilihan raya kali ini yang sangat kritikal kepada parti itu, lebih-lebih lagi dengan pelbagai tekanan daripada pihak pembangkang yang menyebarkan pelbagai dakyah dan penipuan untuk menjatuhkan kerajaan.
“Kita akan menghadapi pilihan raya yang paling kritikal, jadi saya minta semua Ketua Bahagian dan pimpinan empat peringkat Gagasan Rakyat supaya tolong calon yang dipilih oleh parti dan tolong calon yang ditetapkan rakan kita, PH.
“Kita mesti menang dalam pilihan raya ini. Saya tahu kita menghadapi tekanan yang begitu hebat, lebih-lebih lagi saya sendiri, termasuk dalam soal memilih calon.
“Tapi, kita mesti ada tolak ansur dan pengorbanan. Apa juga keputusan parti, kita mesti junjung dan hormati, kita beri kerjasama kerana yang penting ialah kita mesti menang dan jadi kerajaan,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Datuk Hajiji berkata selama lima tahun memerintah, Kerajaan GRS sudah berusaha melaksanakan pelbagai program untuk rakyat dan membangunkan ekonomi Sabah dengan sebaik yang terdaya, malah banyak kejayaan yang sudah dilakar.
Bagaimanapun, katanya pembangkang sengaja menafikan kejayaan itu, malah menuduh dan bercakap bermacam-macam yang tidak baik kepada kerajaan, termasuk terhadap dirinya selaku Ketua Menteri.
“Pembangkang bercakap macam-macam tuduhan kepada kita, terutama saya dituduh siang malam. Mereka cakap kerajaan ini gagal, tapi apa gagalnya kalau kita dapat mentadbir negeri dengan baik, malah memperkenalkan hala tuju yang jelas untuk membangunkan Sabah.
“Gagalkah kita kalau dulu kutipan negeri hanya RM4 bilion ($1.2 bilion), tapi sekarang naik kepada RM7 bilion dan tahun depan (2026) dijangka lebih lagi daripada RM7 bilion.
“Gagalkah kita apabila kita berjaya memeterai perjanjian dengan Petronas hingga banyak yang kita dapat manfaat dalam memajukan industri minyak dan gas.
“Dulu amat sedikit syarikat tempatan Sabah yang terbabit tetapi hasil perjanjian dengan Petronas, sekarang lebih 100 syarikat tempatan Sabah diberi peluang oleh Petronas,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg