Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan pada 6 Oktober, sekali gus memberi laluan bagi Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17) diadakan dalam tempoh 60 hari.
Pembubaran itu diumumkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, pada sidang media khas di Menara Kinabalu, di Kota Kinabalu, Sabah, pada 6 Oktober.
“Memandangkan tempoh PRN16 akan berakhir, saya telah menghadap Yang Dipertua Sabah, Tun Musa Aman, untuk pembubaran DUN.
“Dengan perkenan Tun, DUN16 Sabah dibubarkan berkuat kuasa hari ini (6 Oktober).
“Ini memberi laluan kepada PRN17 dan memberi kuasa kepada rakyat Sabah untuk menentukan siapa yang akan memimpin mereka.
“Keputusan ini mencerminkan komitmen kami terhadap demokrasi dan proses perlembagaan,” katanya pada sidang media itu.
Datuk Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memohon rakyat terus memberi kepercayaan kepada blok politik pimpinannya untuk menerajui Sabah usai PRN17 dan meneruskan projek pembangunan yang telah dimulakan dan dirancang kerajaannya.
“Sepanjang lima tahun lalu, kita telah bekerja dengan gigih untuk membawa perubahan ekonomi yang bermakna kepada negeri dan rakyat Sabah melalui pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang holistik dan inklusif.
“Kami telah menetapkan Sabah pada landasan transformasi yang jelas sejak menerajui Sabah pada September 2020.
“Dengan pembubaran ini, kami memohon mandat daripada rakyat agar meneruskan usaha yang telah kami mulakan iaitu membina Sabah yang lebih kukuh, makmur dan bersatu untuk semua.
“Besar harapan saya agar keputusan pilihan raya kelak akan mengukuhkan suara rakyat, menjaga kestabilan dan memastikan kemajuan berterusan untuk Sabah yang tercinta,” katanya.
PRN17 bakal menyaksikan pertembungan antara GRS yang akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) Sabah; Barisan Nasional (BN) serta blok pembangkang, Perikatan Nasional (PN) dan Warisan.
Bagaimanapun dua parti komponen dalam GRS iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Maju Sabah (SAPP) sebelum ini mengumumkan tidak lagi bersama blok politik itu.
Untuk rekod, dalam PRN Sabah pada 2020, PN yang diketuai Datuk Hajiji; BN Sabah diketuai Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin; dan Parti Bersatu Sabah (PBS) membentuk gabungan longgar dan berjaya merampas kerajaan negeri Warisan-PH yang dipimpin Presiden dan pengasas Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Berita Harian Malaysia melaporkan ketika itu, Warisan menang 29 kerusi, PN (17), BN (14), PBS (7), calon bebas (3), PKR (2) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) (1).
Gabungan PN, BN dan PBS – yang kemudian membentuk GRS – memperoleh 38 kerusi, menewaskan blok Warisan–PH yang meraih 32 kerusi.
GRS kemudian didaftarkan secara rasmi sebagai sebuah gabungan politik pada awal 2022.
Menyusuli Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November 2022, Datuk Hajiji yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah bersama semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bersatu keluar parti untuk menubuhkan parti GRS selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan.
Pada Januari 2023, Datuk Bung Moktar mengumumkan penarikan sokongan Sabah BN–Umno terhadap pentadbiran Datuk Hajiji, sebelum PH Sabah tampil membantu mengekalkan kerajaan negeri pimpinan GRS.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg