Prof Diraja Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas meninggal dunia
Prof Diraja Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas meninggal dunia
Dunia keilmuan Islam dan bidang pemikiran di Malaysia terasa kehilangan dengan kembalinya tokoh pemikir peradaban Islam, Profesor Diraja Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas, pada 6.47 petang, 8 Mac.
Almarhum yang juga antara tokoh pemikir Islam paling berpengaruh di rantau ini yang banyak menyumbang kepada pembangunan pemikiran Islam kontemporari, khususnya dalam bidang falsafah, pendidikan dan peradaban Melayu Islam, meninggal dunia pada usia 95 tahun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sempat bersama jemaah menunaikan solat jenazah Almarhum di Masjid Al-Taqa Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur, pada 9 Mac.
Datuk Anwar menyifatkan pemergian Almarhum sebagai kehilangan besar buat dunia, kerana jasa besarnya dalam memartabatkan tradisi ilmu, adab dan tamadun Islam.
“Saya juga menyampaikan salam takziah kepada anggota keluarga Allahyarham serta menzahirkan penghargaan terhadap khazanah pemikiran yang amat bernilai yang ditinggalkan, khususnya dalam memperkasa kefahaman mengenai konsep ilmu, adab serta peranan Islam dalam membentuk peradaban yang luhur.
“Sesungguhnya jasa dan sumbangan Allahyarham akan terus dikenang dan menjadi sumber inspirasi kepada generasi ilmuwan serta umat Islam dalam meneruskan tradisi keilmuan yang berteraskan hikmah dan nilai.
“Semoga Allah swt mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham, mengampuni segala dosa serta menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh,” tulis Datuk Anwar dalam hantaran di Facebook.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, TTDI.
Sementara itu, menurut laporan Berita Harian Malaysia (BHM), Almarhum terkenal dengan sumbangannya dalam bidang falsafah, teologi dan tamadun Islam menerima gelaran Profesor Diraja Pendidikan Islam pada 23 Oktober 2024.
Gelaran itu diberikan sebagai pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan besarnya kepada pembangunan ilmu serta pendidikan Islam.
Dilahirkan pada 5 September 1931 di Bogor, Indonesia, Almarhum berkahwin dengan Cik Latifah Abdullah dan dikurniakan empat cahaya mata, iaitu Sharifah Faizah Al-Attas, Datuk Dr Syed Ali Tawfik Al-Attas, Sharifah Shifa Al-Attas dan Syed Haidar Al-Attas.
Allahyarham ialah pengasas serta pengarah Institut Pemikiran dan Tamadun Islam (Istac) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan pernah dilantik sebagai Profesor Pelawat Terhormat di Pusat Kajian Lanjutan Mengenai Islam, Sains dan Tamadun (Casis), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 2012.
Rektor UIAM, Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar, berkata pemergian Allahyarham satu kehilangan besar bagi UIAM khususnya dan kepada umat Islam serta masyarakat akademik antarabangsa.
“Allahyarham cendekiawan dan ilmuwan pemikiran Islam kontemporari paling berpengaruh di dunia, meninggalkan legasi intelektual yang amat besar, khususnya dalam bidang falsafah, pendidikan teologi dan peradaban Melayu Islam,” katanya dalam kenyataan.

