Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Projek perluas Lebuhraya Plus dijangka beri manfaat mulai 2026

Jul 25, 2025 | 3:15 PM
Johor,  Lebuhraya Plus
Projek menaik taraf Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) dari Kulai ke Sedenak, Johor, dijangka mula memberi manfaat kepada pengguna seawal 2026. - Foto FACEBOOK FAZLI SALLEH

JOHOR BAHRU: Projek menaik taraf Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) daripada empat kepada enam lorong sedang rancak berjalan dan dijangka mula memberi manfaat kepada pengguna seawal 2026 apabila beberapa bahagian dijangka siap dan dibuka secara berperingkat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata kerja pelebaran di bawah Fasa 1 Pakej 1 melibatkan laluan sepanjang 14 kilometer dari Kulai ke Sedenak, Johor, kini telah mencapai kemajuan 16.44 peratus.

“Walaupun mengalami sedikit kelewatan berbanding jadual asal iaitu 20.02 peratus, kerajaan negeri telah mengadakan rundingan bersama pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Plus dan kontraktor.

“Insya-Allah, kemajuan projek ini akan kembali mengikut jadual pada September,” katanya dalam satu kenyataan pada 25 Julai.

Projek bernilai RM249 juta ($75 juta) itu bermula pada 28 Jun 2024 dan dijangka siap pada 28 Jun 2027.

Menurutnya, kerja pelebaran Fasa 1 Pakej 2 dari Sedenak ke Simpang Renggam sejauh tujuh kilometer telah bermula pada 22 Jun 2025.

Dengan anggaran kos RM160 juta, projek itu masih di peringkat awal kerja tapak dan dijadual siap pada 22 Disember 2027.

Bagi Fasa 2, kontraktor utama telah dilantik pada 1 Julai dan dijadual memasuki tapak kerja pada 27 Julai ini.

“Fasa ini akan melibatkan jarak 16 kilometer dari Simpang Renggam ke Machap dengan kos RM439 juta dan dijangka siap sepenuhnya pada 27 Julai 2029,” jelas Encik Mohamad Fazli.

Beliau berkata pengguna lebuh raya bakal menikmati laluan enam lorong secara berperingkat seawal 2026 apabila empat kilometer pertama siap dibuka.

Dalam pada itu, Encik Mohamad Fazli turut meninjau kemajuan kerja pembinaan jalan penghubung antara Mukim Linau dengan Mukim Tanjung Sembrong di Batu Pahat sempena Program Jelajah Orang Johor (JOJ) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semarang.

Projek bernilai RM46.6 juta itu dibiayai menerusi peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan kini telah mencapai kemajuan 96.49 peratus.

“Bagaimanapun, projek ini mengalami kelewatan sebanyak 2.83 peratus daripada jadual asal 99.32 peratus.

“Kerja-kerja bermula sejak 1 Disember 2021 dan beberapa kali mengalami penangguhan,” katanya.

Beliau menjelaskan antara punca utama kelewatan adalah berlakunya pergerakan tanah yang menyebabkan kerosakan pada struktur jalan, memaksa reka bentuk diubah dengan menambah pemasangan kepingan cerucuk bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Beliau turut memberi jaminan bahawa projek itu akan terus dipantau oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah dan negeri, dan sebarang perkembangan akan dilaporkan terus kepadanya bagi memastikan penyempurnaan projek mengikut sasaran.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg