Pembinaan Projek Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura kini berjalan lancar dengan kemajuan fizikal yang memberangsangkan, sekali gus menepati jadual untuk siap sepenuhnya menjelang Disember 2026 sebelum mula beroperasi pada Januari 2027.
Menteri Pengangkutan, Encik Anthony Loke, berkata struktur utama stesen Bukit Chagar dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Johor Bahru kini telah siap sepenuhnya, membolehkan lawatan tapak pertama dilakukan ke aras platform yang terletak di tingkat tiga bangunan tersebut.
“Saya berpuas hati dengan perkembangan kerja-kerja pembinaan RTS Link yang kini menunjukkan kemajuan ketara.
“Setakat ini, depoh RTS Link telah mencapai tahap siap sebanyak 91 peratus, manakala pembinaan stesen Bukit Chagar pula mencapai 73 peratus.
“Struktur bangunan CIQ Johor Bahru juga siap sepenuhnya dan kini kerja pemasangan sistem seperti ‘signalling’, kabel, dan pintu kaca keselamatan di platform sedang dijalankan,” katanya selepas meninjau projek tersebut pada 3 November.
Encik Loke turut memaklumkan bahawa set tren RTS dijangka tiba di depoh Wadi Hana pertengahan November sebelum ujian pergerakan bermula sekitar Disember.
“Walaupun tren akan mula bergerak untuk ujian percubaan dalam tempoh terdekat, ia belum dibuka kepada orang awam kerana pelbagai ujian keselamatan dan integrasi sistem masih perlu dijalankan sebelum operasi komersial bermula,” terangnya.
Beliau menjelaskan bahawa keseluruhan projek itu terdiri daripada tiga komponen utama di pihak Malaysia, iaitu depoh RTS Link, stesen Bukit Chagar, dan Kompleks CIQ, selain jajaran jejambat yang menghubungkan Johor Bahru ke sempadan Singapura sebelum disambung oleh prasarana milik Singapura.
“Projek ini melibatkan koordinasi kompleks antara dua negara, dengan pihak Malaysia di bawah tanggungjawab MRT Corp manakala RTS Operations (RTSO) sebagai pengendali sistem.
“Walaupun berdepan pelbagai cabaran teknikal dan logistik, saya yakin jadual pembinaan akan dapat dipatuhi,” katanya.
Encik Loke turut menzahirkan penghargaan kepada semua pasukan pelaksana yang bekerja tanpa henti bagi memastikan projek mega dua negara itu disiapkan mengikut jadual.
“Projek ini bukan sahaja akan mengubah wajah pengangkutan antara Johor Bahru dengan Singapura, malah juga menjadi simbol kerjasama strategik dua negara dalam memperkukuh hubungan rentas sempadan,” katanya.
Kementerian Pengangkutan tambah beliau akan terus memantau perkembangan projek itu dengan lawatan berkala setiap tiga bulan, termasuk pada Januari 2026 bagi meninjau kemajuan akhir sebelum peringkat pengujian penuh bermula.
“Tempoh 14 bulan akan datang amat penting. Kita akan memastikan semua isu koordinasi dapat diselesaikan segera supaya sistem ini dapat dilancarkan tepat pada masanya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif RTS, Dr Ahmad Marzuki Ariffin, memaklumkan kerja sistem dan operasi kini telah mencapai 65 peratus.
Menurutnya, satu tren akan dibawa dari Pusat Ujian Rel Singapura (SRTC) manakala tiga lagi set tren dari Batu Gajah akan tiba sebelum hujung 2025.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg