Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ujian Integrasi RTS Link Johor-S’pura capai tahap akhir

Tahap seterusnya ialah ujian di tapak sebenar dan proses pentauliahan
Oct 31, 2025 | 4:02 PM
RTS, tahap, akhir, ujian
Pegawai berjawatan tinggi dari SMRT Corporation Ltd, Prasarana Malaysia Berhad dan RTS Operations Pte Ltd (RTSO) bergambar bersama tren Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) di Pusat Ujian Rel Singapura (SRTC), di Tuas. - Foto FACEBOOK RTSO

Projek Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura melangkah ke satu lagi detik penting apabila RTS Operations Pte Ltd (RTSO) berjaya menamatkan tahap akhir Ujian Integrasi Sistem di Luar Tapak (Osit), yang dijalankan dengan kerjasama rapat pelbagai agensi dari kedua-dua negara.

Osit merupakan ujian menyeluruh yang menggabungkan semua komponen utama sistem seperti tren, isyarat kawalan, pintu keselamatan platform dan sistem komunikasi bagi memastikan semuanya berfungsi secara serentak dan selamat sebelum operasi sebenar dimulakan.

Program Osit bermula pada Disember 2024 di Pusat Ujian Rel Singapura (SRTC), dengan tren pertama diperkenal pada April 2025 dan ujian dinamik dimulakan pada Julai tahun sama.

Sejak itu, SRTC menjadi tumpuan pasukan teknikal dari Malaysia dan Singapura yang bekerja tanpa henti untuk menjalankan pelbagai ujian bagi memastikan sistem itu beroperasi dengan cekap dan selamat.

RTSO dalam kenyataannya menyifatkan kejayaan itu bukan sekadar pencapaian teknikal, bahkan lambang iltizam bersama serta persahabatan erat antara Malaysia dengan Singapura dalam usaha menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam bertaraf dunia.

“Kejayaan Osit mencerminkan kebertanggungjawaban pasukan projek, tadbir urus yang telus dan disiplin pelaksanaan yang tinggi.

“Dengan pencapaian ini, kami kini bersedia melangkah ke tahap seterusnya iaitu ujian di tapak sebenar dan proses pentauliahan,” kata kenyataan pada 30 Oktober.

RTSO turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Singapura, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), Agensi Pengangkutan Awam Darat Malaysia (Apad), Mass Rapid Transit Corporation (MRT Corp), serta pemegang saham SMRT Corporation Ltd dan Prasarana Malaysia Berhad atas sokongan berterusan dalam memastikan kejayaan projek itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, ketika dihubungi Berita Harian (BH) berkata RTSO kini menjalankan kajian bagi menentukan unjuran jumlah pengguna pada tahun pertama operasi serta corak peralihan mod perjalanan antara bas, kereta dengan motosikal.

“Laporan awal sepatutnya diterima pada hujung tahun ini (2025), namun kita masih menunggu hasil penuh daripada RTSO.

“Kajian ini penting untuk membantu kerajaan Johor membuat persediaan, termasuk mengurangkan kebergantungan kepada motosikal dan kenderaan persendirian bagi menyokong sistem RTS apabila beroperasi nanti,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Encik Fazli turut memaklumkan mengenai perkembangan pelan penyuraian trafik di 77 kawasan tumpuan kesesakan di sekitar Johor Bahru yang dilaksanakan secara bertahap – jangka pendek, sederhana dan panjang.

Beliau berkata kejayaan besar telah dicapai dalam pelaksanaan tahap jangka pendek yang melibatkan 28 lokasi utama, dengan 24 daripadanya telah siap sepenuhnya.

“Antara kejayaan penting ialah penutupan kekal di Persimpangan Taman Johor bagi melancarkan aliran kenderaan serta naik taraf kepada sistem lampu isyarat pintar di beberapa persimpangan kritikal,” katanya.

Menurutnya, pelaksanaan bagi 28 lokasi di bawah tahap jangka sederhana dan 21 lokasi di bawah tahap jangka panjang sedang dirancang secara terperinci bagi memastikan prasarana jalan raya Johor Bahru mampu menampung pertumbuhan pesat wilayah ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg