Topik diikuti
Pergi ke BHkuProjek rumah mampu milik di Iskandar Puteri dipantau rapi
Projek rumah mampu milik di Iskandar Puteri dipantau rapi
Mahu pastikan siap ikut jadual, penuhi piawaian ditetapkan demi kebajikan rakyat
Projek rumah mampu milik di Iskandar Puteri dipantau rapi
ISKANDAR PUTERI: Pembinaan Projek Perumahan Iskandar Puteri Bangsa Johor (PIPBJ) di Gerbang Nusajaya akan terus dipantau bagi memastikan semua 2,006 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) disiapkan mengikut jadual serta memenuhi piawaian kualiti yang ditetapkan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata projek yang terletak dalam kawasan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) – di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) – merupakan antara pembangunan RMMJ terbesar di negeri itu.
Beliau berkata setiap rumah yang dibina membawa harapan kepada keluarga yang menantikan kediaman sendiri, justeru projek berkenaan perlu disiapkan dengan berkualiti, selamat dan menepati komitmen kerajaan kepada rakyat.
“Di sebalik setiap rumah yang sedang dibina, ada sebuah keluarga yang sedang menanti ruang untuk berteduh, membesarkan anak-anak dan membina masa hadapan yang lebih baik.
“Sebab itu, pelaksanaannya tidak boleh sekadar siap, tetapi mesti disiapkan dengan berkualiti, selamat dan menepati janji kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada 28 Julai, selepas meninjau kemajuan projek berkenaan.
Menurut beliau, projek itu menawarkan tiga pilihan kediaman, iaitu RMMJ Jenis C berkeluasan 1,000 kaki persegi berharga RM150,000 ($47,509); RMMJ Jenis D1 seluas 1,100 kaki persegi berharga RM250,000; serta RMMJ Jenis D2 seluas 1,200 kaki persegi pada harga RM300,000.
Katanya, setiap unit dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air bagi memenuhi keperluan keluarga.
Datuk Mohd Jafni berkata sehingga 15 Julai, Fasa 1 dan 1A telah mencapai kemajuan 96.34 peratus, diikuti Fasa 2 sebanyak 75.02 peratus, manakala Fasa 3 dan 3A berada pada tahap 15 peratus.
“Fasa 1 dan 1A dijangka siap pada suku kedua 2027, Fasa 2 pula dijangka siap pada suku keempat 2027 manakala Fasa 3 dan 3A dijangka siap pada suku kedua 2028.
“Saya mahu setiap fasa dipantau dengan dekat, setiap isu diselesaikan segera dan setiap kelewatan ditangani tanpa menunggu keadaan menjadi lebih serius,” katanya.
Beliau berkata lawatan itu turut memberi tumpuan kepada pembinaan infrastruktur sokongan, termasuk sistem saliran, utiliti telekomunikasi, landskap, kawasan lapang dan laluan pejalan kaki.
Katanya, sebuah kawasan perumahan yang baik bukan hanya menawarkan rumah yang berkualiti, malah perlu dilengkapi kemudahan asas dan persekitaran yang selamat serta selesa untuk didiami.
Datuk Mohd Jafni turut mengarahkan pemaju, agensi teknikal dan semua pihak berkaitan supaya terus bekerjasama sebagai satu pasukan bagi memastikan baki kerja dapat dipercepatkan tanpa menjejaskan mutu pembinaan.
“Dalam urusan rumah rakyat, tidak boleh ada sikap sambil lewa kerana setiap kelewatan memberi kesan kepada kehidupan sebuah keluarga,” katanya.
Beliau berkata sehingga suku kedua tahun 2026, sebanyak 22,284 unit Rumah Mampu Milik Johor di seluruh negeri telah siap dibina dan memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).
Menurut beliau, pencapaian itu membuktikan agenda perumahan rakyat di Johor terus dilaksanakan secara berterusan dan bukan sekadar perancangan di atas kertas.