Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Projek transformasi pacu JB jadi hab perniagaan bertaraf dunia

Jun 13, 2025 | 11:40 AM
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor (kanan), pengerusikan pramesyuarat Jawatankuasa Ibrahim International Business District (IIBD) di Kota Iskandar, Iskandar Puteri.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor (kanan), pengerusikan pramesyuarat Jawatankuasa Ibrahim International Business District (IIBD) di Kota Iskandar, Iskandar Puteri. - Foto FACEBOOK MOHD JAFNI MD SHUKOR

Kerajaan Johor sedang giat melaksanakan projek transformasi Ibrahim International Business District (IIBD) yang bakal mengangkat pusat bandar raya itu sebagai hab perniagaan bertaraf dunia menjelang 2040.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata projek strategik itu bukan sekadar pelan pembangunan fizikal, bahkan melibatkan pendekatan menyeluruh merangkumi aspek ekonomi, sosial, persekitaran dan mobiliti sejajar dengan prinsip pembangunan mampan yang digariskan dalam agenda Maju Johor.

“IIBD akan menjadi pemangkin utama pembangunan semula bandar dengan penglibatan sektor swasta dan masyarakat melalui pendekatan Business Improvement Districts (BIDs),” katanya dalam satu kenyataan pada 12 Jun.

Datuk Mohd Jafni berkata projek itu juga selari dengan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang merancakkan pelaburan dan keterhubungan dua hala antara Johor dengan Singapura.

Pelan pembangunan yang dirangka menyasarkan peningkatan nilai ekonomi daripada RM208 juta ($62.87 juta) pada 2023 kepada RM21 bilion menjelang 2040, dengan pewujudan pelbagai zon strategik seperti hab inovasi, kawasan warisan, pusat beli-belah, taman bandar dan jaringan pengangkutan awam bersepadu.

“Selain menambah peluang pekerjaan daripada 9,300 kepada 34,000, pelan ini juga bertujuan membentuk masyarakat bandar yang mesra, selamat dan aktif,” katanya lagi.

Inisiatif “Greening and Cooling the City” pula akan menampilkan pelbagai elemen kelestarian termasuk taman bandar, laluan pejalan kaki, lorong basikal, dan penggunaan teknologi seperti Floating Wetland bagi meningkatkan mutu landskap dan mutu air.

Daripada sudut keselamatan, IIBD turut memperkenalkan pencahayaan bandar moden, laluan belakang yang selamat serta ruang masyarakat mesra keluarga, sementara aspek mobiliti pintar disokong oleh pembinaan sistem pengangkutan berskala sederhana, tempat letak kenderaan bersepadu dan laluan bukan bermotor.

Jawatankuasa Pemandu IIBD kini diterajui Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan), manakala Datuk Mohd Jafni sendiri bertindak sebagai penasihat.

Proses pelaksanaan akan dikendalikan IIBD (Johor) Sdn Bhd bersama agensi teknikal dan pihak berkuasa tempatan, dengan pemantauan berkala oleh jawatankuasa kerja.

“Kita tidak mahu projek ini tinggal atas kertas. Saya komited memastikan ia membawa manfaat langsung kepada warga Johor Bahru dan sekitarnya,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa setiap aspek pembangunan akan dilaksanakan secara menyeluruh, berkesan tinggi dan berpaksikan aspirasi rakyat ke arah bandar raya yang lebih lestari, produktif dan berdaya saing.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg