KUALA LUMPUR: Bahagian undang-undang Majlis Amanah Rakyat (Mara) kini dalam proses pemfailan kebankrapan terhadap pelakon, Rozita Che Wan, 51 tahun, atau lebih dikenali sebagai Che Ta dan anak sulungnya, Encik Ammar Effendy, 28 tahun, yang gagal membayar pinjaman hampir RM1 juta ($302,000) sejak 2017.
Langkah itu adalah prosedur susulan yang dilakukan terhadap selebriti itu selepas beliau gagal melunaskan hutangnya dalam tempoh tujuh tahun walaupun Mara telah melakukan pelbagai usaha bagi mendapatkan semula wang berkenaan sehingga membawa kes itu ke mahkamah.
Adalah difahamkan pinjaman Mara berjumlah RM960,000 dibuat oleh syarikat milik pelakon itu, RCW Worldwide Sdn Bhd, dengan Rozita dan anak lelakinya sebagai penjamin, lapor Harian Metro.
Pada Julai 2023, Mara dikatakan sudah memfailkan notis kebankrapan kepada Cik Rozita dan anaknya itu tetapi disebabkan wujud isu teknikal, ia ditarik balik sebelum diteruskan dengan tindakan writ penyitaan dan penjualan (WSS) harta pelakon terbabit pada 10 Disember.
Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata tindakan kebankrapan kali ini hanya akan dihentikan jika Cik Rozita membayar sepenuhnya pinjaman itu.
Mara juga tidak lagi memberi pelanjutan tempoh pembayaran hutang terbabit selepas mahkamah membuat keputusan muktamad mengenainya.
Beliau berkata, tindakan itu adalah proses sama yang diambil Mara terhadap mana-mana peminjam yang enggan atau gagal melunaskan hutang mereka seperti terkandung dalam perjanjian yang ditandatangani selepas pelbagai pemudah cara pembayaran diberikan.
“Saya sudah mengarahkan bahagian undang-undang Mara mengambil tindakan muflis terhadap pelakon itu kerana kita sudah memberi tempoh secukupnya untuk beliau melunaskan hutang pinjaman hampir RM1 juta yang dibuatnya sejak tujuh tahun lalu.
“Tiada siapa boleh menghalang tindakan Mara ini kerana ia perintah mahkamah.
“Sebenarnya, kita tidak sewenang-wenangnya mengambil tindakan terhadap peminjam yang culas atau memilih bulu dalam tindakan dilakukan.
“Ini kerana Mara terikat dengan prosedur dan proses yang ketat menurut lunas undang-undang, malah sebelum sebarang tindakan perundangan dilakukan, nilai ‘ihsan’ juga diutamakan dengan memberi ruang kepada peminjam yang bermasalah untuk datang ke Mara berunding mengenai penjadualan dan penstrukturan hutang mereka,” katanya kepada Berita Harian Malaysia pada 12 Disember.
Datuk Asyraf Wajdi berkata, tindakan perundangan adalah jalan terakhir yang diambil pihaknya jika semua usaha Mara untuk pembayaran semula pinjaman tidak diendahkan peminjam dan ketegasan itu bagi memastikan setiap sen wang rakyat dapat dikutip semula untuk manfaat orang lain pula.
Beliau berkata, Mara sebelum itu sudah membuka pintu rundingan supaya penjadualan dan penstrukturan semula pinjaman dapat dilakukan jika mereka menghadapi masalah.
“Bagaimanapun, bagi kes pelakon itu, saya difahamkan beliau tidak memberi kerjasama sepatutnya, malah kes berlarutan lama kerana banyak kali mahkamah ditangguhkan kerana beliau membuat pertukaran peguam,” katanya.
Mengulas serbuan dibuat di rumah Rozita di Kota Damansara, Petaling Jaya, Datuk Asyraf Wajdi berkata, ia susulan alamat yang tertera pada perjanjian ditandatangani dengan Mara membabitkan rumah berkenaan.
“Nilai sebenar barangan yang disita dari rumah itu pula hanya diketahui selepas lelongan dibuat nanti.
“Setakat ini, jumlah itu jauh lebih rendah daripada hutang sebenar yang perlu dibayarnya kepada Mara,” katanya.
Sementara itu, sumber berkata, pinjaman berjumlah RM960,000 dibuat di Mara Selangor dengan pelakon itu dan anaknya sebagai penjamin, selain simpanan tetap RM80,000 dijadikan cagaran.
Bagaimanapun, katanya, simpanan tetap itu sudah dicairkan Mara sebelum ini.
“Tidak dinafikan pelakon itu pernah beberapa kali memohon untuk mengurangkan bayaran pinjaman dan membuat penjadualan semula, tetapi selepas itu dia senyap begitu saja.
“Penghakiman terhadap Rozita dan anaknya dibuat mahkamah pada Mei tahun lalu (2023). Peguam Rozita juga ada menghubungi Mara tetapi arahan yang diterima ialah pelakon terbabit perlu melunaskan hutang itu sepenuhnya,” katanya.
Sumber berkata, antara barangan yang disita di rumah Cik Rozita termasuk sebuah kereta, perabot, kasut dan peralatan rumah.
Menurutnya, mereka hanya menunggu tarikh daripada mahkamah untuk melakukan lelongan barangan berkenaan yang akan ditentukan kemudian.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg