KUALA LUMPUR: Bandar utama termasuk di Lembah Klang dan Pulau Pinang didapati mengalami kepadatan penduduk tinggi dengan Kuala Lumpur mencatatkan keberadaan 8,235 orang bagi setiap kilometer (km) persegi.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Encik Nga Kor Ming, berkata atas dasar itu bagi memastikan adanya kemudahan pendidikan bagi setiap pembangunan baru dalam cabaran kepadatan penduduk yang tinggi di kawasan bandar, penyediaan tapak terbabit akan ditentukan berdasarkan ambang populasi.
Beliau berkata sebagai contoh, pembangunan perumahan baru yang menjana seramai 7,500 penduduk memerlukan satu tapak sekolah rendah seluas minimum 2.4 hektar.
“Sementara pembangunan janaan penduduk seramai 8,750 orang akan memerlukan satu tapak sekolah menengah seluas minimum 3.2 hektar.
“Tapak kemudahan pendidikan ini akan turut dikenal pasti dan ditandakan dalam Rancangan Tempatan sebagai zon institusi bagi memastikan peruntukan tapak terbabit diselaraskan dan disediakan bagi pembangunan sekolah di masa akan datang,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) yang meminta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan berkenaan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mewajibkan penyediaan kemudahan pendidikan bagi projek perumahan berskala besar.
Pada masa sama, Encik Nga berkata Malaysia juga mengalami kadar perbandaran yang pesat menjadikannya antara negara dengan pertambahan penduduk bandar yang ketara di Asia Tenggara.
Katanya, menurut Rancangan Fizikal Negara keempat, kadar perbandaran negara terus meningkat daripada 71 peratus pada 2010 kepada 75.8 peratus pada 2024 dan akan terus meningkat kepada 80 peratus pada 2030.
“Ia sekali gus menyebabkan berlakunya kesesakan di sekolah di kawasan bandar berkenaan akibat penambahan pelajar setiap tahun.
“Keadaan itu diburukkan lagi dengan kekurangan tanah di kawasan bandar yang menyukarkan pembinaan sekolah baru melalui kaedah konvensional secara pembangunan di atas tanah yang luas, iaitu 2.4 hingga 3.2 hektar bagi sekolah rendah dan 3.2 hingga 4.8 hektar bagi sekolah menengah.
“Justeru, dalam usaha untuk memastikan akses pendidikan dan modal insan yang berkualiti, konsep sekolah vertikal dilihat sebagai satu penyelesaian mampan bagi memenuhi keperluan akses pendidikan bagi bandar padat di Malaysia,” katanya.
Pada masa sama, Encik Nga berkata sekolah vertikal adalah institusi pendidikan yang dibina secara bertingkat tinggi, mirip dengan model yang digunakan di negara maju seperti di Australia, Singapura, Hong Kong dan Jepun.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg