Dengan baki lebih setahun sebelum Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura mula beroperasi pada awal 2027, kerajaan negeri Johor disaran memperhebat persiapan bagi memastikan aliran trafik dan pergerakan penumpang di sekitar pusat bandar berjalan lancar.
Pakar perancangan bandar berpendapat tanpa langkah penyuraian trafik yang cekap, risiko kesesakan dijangka meningkat mendadak berikutan kedudukan stesen RTS di tengah kota raya Johor Bahru.
Malah, kebergantungan orang ramai kepada kenderaan persendirian boleh menjejas keberkesanan projek prasarana terbesar antara Johor dengan Singapura itu.
Menurut Pensyarah, Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Safizahanin Mokhtar, RTS Link merupakan hab penyepaduan pergerakan yang akan menghubungkan sistem aliran ringan, bas awam serta laluan pejalan kaki ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI).
“Jika tidak diurus dengan baik, kesesakan jalan raya di pusat bandar boleh menjadi lebih parah apabila jumlah penumpang harian meningkat mendadak selepas operasi RTS bermula,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Bagi menangani isu aliran trafik, kerajaan Johor disaran menyediakan perkhidmatan bas pengantara dari kawasan perumahan padat seperti Tebrau, Permas Jaya dan Pasir Gudang.
Perkhidmatan itu boleh digerakkan melalui Bas Muafakat Johor atau pengendali swasta sedia ada dengan jadual perjalanan kerap, khususnya pada waktu sibuk.
Dr Safizahanin juga berkata zon khas teksi dan ‘e-hailing’ (menempah kenderaan secara dalam talian) perlu diwujudkan di pintu keluar RTS dengan laluan terus tanpa mengganggu aliran bas.
“Pengguna tidak seharusnya dipaksa menyeberang jalan yang sibuk untuk mendapatkan teksi atau bas. Dengan adanya laluan terus, keselamatan dan kelancaran pergerakan dapat dijamin,” jelasnya.
Menurutnya, kerajaan negeri bersama pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) serta pengendali bas awam telah melaksanakan beberapa langkah awal atau quick wins projects.
Antaranya ialah memperkenal sistem Park & Ride (P&R – letak kenderaan dan naik pengangkutan awam) dari pusat membeli-belah Toppen ke BSI, di Johor Bahru, serta dari AEON Bukit Indah ke Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Linkedua, yang kini sudah beroperasi.
Daya usaha itu membolehkan pemandu meletakkan kenderaan mereka di lokasi terpilih sebelum meneruskan perjalanan ke pusat bandar dengan menggunakan bas.
Dalam pada itu, Penyelidik Utama Pusat Pemanduan Bijak (SDRC) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Madya Dr Munzilah Md Rohani, pula mengingatkan bahawa lokasi P&R mesti ditempatkan di luar pusat bandar.
Beliau turut menekankan penyepaduan jadual perjalanan antara RTS Link dengan bas dan teksi adalah kunci utama.
“Jika kita letak di dalam bandar, ia akan menarik lebih banyak kenderaan masuk dan akhirnya menambah kesesakan.
“Park & Ride sepatutnya di kawasan luar bandar supaya mereka yang mahu masuk ke pusat perniagaan boleh tinggalkan kereta lebih awal.
“Laluan khas untuk bas dan teksi perlu difikirkan, termasuk menambah stesen bas atau teksi berhampiran RTS.
“Paling penting, penyelarasan jadual antara RTS Link dengan teksi mesti diwujudkan supaya pergerakan lancar dan tidak menunggu terlalu lama,” terangnya kepada BH.
Bagi memastikan kelancaran perjalanan, konsep kesalinghubungan awal dan akhir ditekankan.
Laluan pejalan kaki berbumbung, lorong basikal serta ruang khas untuk perkhidmatan ‘e-hailing’ dicadangkan bagi menghubungkan pengguna RTS dengan destinasi seterusnya.
Dr Munzilah menambah, kemudahan mesra iklim tempatan seperti laluan berbumbung dan berhawa dingin amat penting memandangkan cuaca Johor yang panas terik dan hujan lebat.
Zon larangan kenderaan persendirian di sekitar RTS juga harus diwujudkan agar kawasan stesen benar-benar selamat buat pejalan kaki.
Selain itu, cadangan Demand Responsive Transit (DRT) wajar diberi perhatian.
DRT berfungsi hampir sama seperti ‘e-hailing’ tetapi berkapasiti lebih besar serta beroperasi berdasarkan permintaan penumpang melalui aplikasi mudah alih.
“DRT boleh menjadi penyelesaian jangka pendek sementara menunggu sistem e-ART siap.
“Ia lebih murah kerana kos dikongsi bersama penumpang lain, sekali gus mengurangkan bilangan kereta persendirian memasuki bandar,” jelas Pensyarah Pengangkutan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pasir Gudang, Encik Razieman Mohd Yusoff.
Selain itu, kerajaan Johor turut digesa supaya membangunkan aplikasi perancangan perjalanan awam, memasang kamera litar tertutup (CCTV) berteknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mengawal trafik, serta menambah baik laluan pejalan kaki dan basikal di sekitar bandar raya.
Apabila jumlah penumpang RTS meningkat kelak, keselamatan pejalan kaki dan penunggang motosikal harus diberi perhatian.
Laluan berbumbung dan berpagar dicadangkan bagi mengelakkan pengguna menyeberang jalan secara rawak.
Jambatan pejalan kaki di lokasi sibuk pula boleh mengurangkan risiko perlanggaran.
Bagi penunggang motosikal, cadangan termasuk penyediaan lorong khas yang dipisahkan dengan penghadang fizikal, tempat letak motosikal mencukupi serta zon penghantaran khusus agar mereka tidak berhenti di laluan utama, kata Encik Razieman.
Kerajaan negeri juga disaran mewujudkan zon perlahan dengan had laju 30 kilometer sejam di sekitar pintu masuk stesen serta melaksanakan penguatkuasaan ketat terhadap tempat letak kenderaan haram atau kenderaan yang melawan arus.
Johor boleh mengambil iktibar daripada beberapa bandar antarabangsa dalam mengurus aliran trafik selepas RTS beroperasi.
Singapura, contohnya, menunjukkan penyepaduan mod pengangkutan yang lengkap, dengan pilihan bas awam, laluan pejalan kaki, basikal dan kenderaan persendirian yang berhubung terus ke stesen.
Malah, Singapura turut merupakan pelopor sistem tol elektronik atau dikenali sebagai Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP) untuk mengurangkan kenderaan memasuki pusat bandar pada waktu sibuk.
Hong Kong (Tsuen Wan) pula mempunyai laluan pejalan kaki bermutu tinggi melalui jambatan berbumbung membolehkan pengguna bergerak ke pusat tumpuan tanpa perlu menyeberangi jalan sibuk.
Copenhagen, Denmark pula mempunyai konsep jalan dikongsi (shared street) berhampiran stesen transit bagi memastikan setiap pengguna, termasuk pejalan kaki dan penunggang motosikal, sama-sama terpelihara.
Zon perlahan dan penggunaan teknologi pintar seperti lampu isyarat automatik serta pemantauan CCTV turut meningkatkan keselamatan.
Di London, kerajaan telah melaksanakan zon caj kesesakan bagi mengurangkan kenderaan memasuki kawasan pusat bandar; manakala Paris pula mempunyai sistem basikal kongsi Vélib’ Métropole – bandar itu menggalakkan penggunaan basikal secara meluas sebagai alternatif kepada kenderaan bermotor.
RTS Link ialah sistem kereta api rentas sempadan antara Singapura dengan Johor Bahru yang dijadual siap pada Disember 2026.
Ia mempunyai kapasiti optimum 607 penumpang, dan maksimum 1,087 penumpang.
Setiap gerabak kereta api mempunyai 32 tempat duduk, termasuk empat yang boleh dilipat bagi memberi ruang pada kerusi roda, kereta sorong bayi atau bagasi.
Secara keseluruhan, dalam sejam, hingga 10,000 penumpang mampu membuat perjalanan dari Singapura ke Malaysia.
Kereta api berukuran 76.5 meter itu boleh mencapai kelajuan hingga 80 kilometer sejam, dengan tempoh perjalanan hanya lima minit antara Singapura dengan Johor Bahru.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg