Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pusat data di Johor teroka guna air sisa terawat demi kelestarian

Jun 11, 2025 | 11:42 AM
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han. - Foto PEJABAT MENTERI BESAR JOHOR

JOHOR BAHRU: Beberapa pusat data di Johor kini meneroka penggunaan sumber air alternatif termasuk air sisa terawat bagi mengurangkan kebergantungan kepada bekalan air terawat domestik, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han.

Menurutnya, sebuah pusat data sudah memulakan proses menggunakan air sisa terawat dengan kerjasama Konsortium Air Indah (IWK) dan Johor Special Water (JSW), satu entiti milik kerajaan Johor.

“Dua lagi pusat data sedang mengkaji penggunaan air alternatif yang diperoleh daripada loji rawatan kumbahan IWK dan pengambilan terus dari sungai.

“Kita jangka lebih banyak akan menyusul, dengan dua lagi pusat data telah menyatakan minat untuk beralih kepada sumber ini,” katanya.

Encik Lee menjelaskan langkah itu seiring dengan usaha pusat data meningkatkan profil kelestarian alam sekitar mereka melalui inisiatif sosial dan tadbir urus (ESG) (kriteria yang digunakan untuk menilai kesan ke atas masyarakat dan sekitaran).

“Sama ada diberi insentif atau tidak, kebanyakan mereka akan beralih juga kerana ia memberikan imej baik kepada komitmen alam sekitar mereka,” tambahnya.

Sebelum ini, kerajaan negeri memberi jaminan bahawa pengguna air domestik tidak akan terjejas meskipun permintaan air meningkat akibat pertumbuhan pesat sektor pusat data, lapor The Star.

Pada April 2025, syarikat pusat data hiperskala AirTrunk dari Asia Pasifik dan Jepun mengumumkan kerjasama dengan JSW bagi membangunkan skim bekalan air kitar semula buat kampus mereka di Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata semua permohonan pusat data baru perlu melalui proses semakan oleh Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Pusat Data Negeri Johor (JPPDNJ).

Setakat akhir 2024, Johor merekodkan RM164.45 bilion ($49.95 bilion) pelaburan daripada 42 projek pusat data yang turut menjana 6,145 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Daripada jumlah itu, 13 pusat data telah beroperasi, 15 sedang dalam pembinaan manakala 14 lagi telah diluluskan JPPDNJ.

“Permohonan baru perlu mematuhi piawaian kecekapan penggunaan tenaga (PUE) dan kecekapan penggunaan air (WUE) seperti yang diguna pakai di negara maju seperti Singapura,” katanya.

Di Johor, tahap PUE yang dibenarkan ialah 1.4 dan WUE sebanyak 1.8.

Tambah Datuk Mohd Jafni, Bridge Data Centre yang terletak dalam kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) kini dalam proses menggunakan sehingga 20 juta liter air alternatif setiap hari dengan bantuan IWK dan JSW.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg