SERDANG (Selangor): Seramai 496 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen Malaysia di ‘sarang’ Rohingya di Pangsapuri Putra Permai Selesa, Seri Kembangan di sini pada 15 Julai.
Serbuan bermula 10 malam turut membongkar kegiatan judi dalam talian yang berselindung di sebalik tiga kediaman tingkat dua di sebuah blok pangsapuri berkenaan.
Wartawan Harian Metro yang mengikuti operasi itu mendapati kediaman dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan berpintu besi bagi menyukarkan serbuan pihak berkuasa.
Serbuan dijalankan secara bersepadu oleh 217 pegawai dan anggota Imigresen Selangor dan Kuala Lumpur, Dewan Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Pelbagai helah digunakan Pati bagi mengelak ditahan pihak berkuasa dengan menyorok beramai-ramai di ruangan siling sehingga roboh, dan ada antara mereka cedera akibat terjatuh.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Encik Jafri Embok Taha, berkata 741 warga asing diperiksa dalam operasi di pangsapuri empat blok berkenaan.
“Daripada jumlah itu, 496 ditahan terdiri daripada 37 lelaki dan 25 wanita Indonesia, 275 lelaki dan 80 wanita serta 30 kanak-kanak warga Myanmar.
“Turut ditahan, 15 lelaki Bangladesh, lelaki Pakistan (13), lelaki Thailand (3) wanita Thailand (1), wanita Kemboja (1) dan kanak-kanak Kemboja (2),” katanya.
Beliau berkata semua yang ditahan berusia antara dua bulan hingga 60 tahun dibawa ke Depoh Imigresen Semenyih bagi semakan lanjut.
Semua warga asing terbabit bekerja di sekitar kawasan itu terutama pasar borong dan kedai runcit serta restoran.
“Antara kesalahan yang disyaki dilakukan adalah tiada dokumen pengenalan diri, langgar syarat pas, tinggal lebih masa, pemegang kad tidak diiktiraf dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63.
“Operasi bersepadu ini akan dilaksanakan setiap masa dan Imigresen mengingatkan orang ramai terutama majikan supaya tidak melindungi Pati atau berdepan dengan tindakan undang-undang,” tegasnya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Pati supaya menyalurkannya bagi membantu Imigresen melaksanakan penguatkuasaan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg