Pemilik kedai alat ganti motosikal, Encik Diong Chun Sheng, 31 tahun, berkata sebahagian pelanggannya dari Singapura terpaksa meletakkan kenderaan mereka agak jauh dan berjalan kaki ke kedainya.
Ini kerana tempat meletak kereta dan motosikal di depan kedainya di Jalan Bentara 1 selalu ‘penuh’ hampir sepanjang masa.
Ini kebanyakannya disebabkan warga Malaysia yang bekerja di Singapura dan meninggalkan kenderaan mereka seharian di tempat meletak kereta tersebut.
Pemeriksaan Berita Minggu (BM) di kawasan tersebut, yang terletak sekitar 20 kilometer dari Kompleks Imigresen dan Kuarantin Bangunan Sultan Iskandar, iaitu ‘pintu’ keluar masuk ke Tambak, juga menunjukkan tempat meletak kereta lain penuh.
Keadaan tersebut berlaku sejak tiga tahun lalu, kata Encik Diong, walaupun beberapa aduan telah dibuat.
“Pekerja kilang meninggalkan kenderaan mereka sejak awal pagi dan bekerja dua syif, menyebabkan kawasan ini penuh sepanjang masa.
“Kita ada beberapa pelanggan dari Singapura; mereka bukan sahaja terpaksa menempuh perjalanan yang sesak tetapi apabila sampai ke sini, mereka menghadapi satu lagi cabaran untuk mencari tempat letak kenderaan,” katanya.
“Mereka sudah datang dari jauh jadi tidak berbaloi untuk mereka berpusing berkali kali untuk mencari tempat kosong atau mencari kedai lain,” jelasnya.
Isu tempat letak kereta awam yang dipenuhi kenderaan milik pekerja berulang-alik ke Singapura memerlukan penyelesaian jangka panjang dan sistematik, termasuk penyediaan kemudahan ‘Park & Ride’ di lokasi strategik, kata pemerhati yang dihubungi BM.
Dianggarkan, lebih 300,000 rakyat Malaysia berulang-alik ke Singapura setiap hari melalui Tambak Johor dan Linkedua.
Namun di kawasan sekitar terminal bas Taman Ungku Tun Aminah (Tuta) dan Terminal Larkin, tempat letak kereta penuh seawal 4.30 pagi akibat jadual bas kilang dan perkhidmatan ke Singapura.
Penyelidik Utama Pusat Pemanduan Bijak (SDRC) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Madya Dr Munzilah Md Rohani, berkata masalah itu berlaku kerana tiada kawalan terhadap kenderaan yang diletakkan dalam tempoh panjang, khususnya di kawasan sibuk seperti Larkin dan Taman Ungku Tun Aminah (Tuta).
“Kerajaan negeri perlu melakukan kajian permintaan letak kereta (parking demand study) untuk menentukan berapa peratus kenderaan yang ditinggalkan oleh pekerja ke Singapura. Dari situ barulah boleh dirangka penyelesaian menyeluruh,” katanya menjawab soalan BM.
Dr Munzilah mencadangkan skim letak kereta berbayar yang lebih tersusun, termasuk bayaran bermusim atau mingguan seperti di Lapangan Terbang Senai, bagi menarik pengguna meletak kenderaan secara sah.
Menurutnya, di negara seperti Britain, pelbagai model letak kereta diperkenalkan; ada had dua jam, ada yang sehari penuh, dan ada yang membenarkan keluar masuk dalam tempoh tertentu.
“Di sana, tindakan terhadap letak kenderaan haram sangat tegas. Kenderaan yang diletak secara haram akan terus ditunda ke garaj khas, dan pemilik perlu membayar caj tertentu untuk menebusnya. Jika tidak dituntut, caj semakin meningkat. Pendekatan ini berkesan mengawal masalah letak kenderaan secara haram,” katanya.
Beliau berkata kemudahan ‘Park & Ride’ berhampiran laluan bas atau sistem pengangkutan awam perlu diperbanyak.
Malah, perkhidmatan point-to-point seperti e-hailing (menempah kenderaan secara dalam talian) rentas sempadan juga boleh dipertimbangkan untuk mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan peribadi.
“Di kawasan bandar, seperti di Senai, premis perniagaan menetapkan bayaran masuk untuk pelanggan. Kaedah sebegini juga boleh diguna pakai bagi kawasan perniagaan sibuk seperti Tuta dan Larkin supaya ruang letak kereta lebih teratur,” ujarnya.
Dr Munzilah menegaskan pemantauan berterusan oleh pihak berkuasa tempatan juga penting, selain menilai cadangan menaikkan kadar saman atau melaksanakan penundaan kenderaan segera terhadap kenderaan yang ditinggalkan terlalu lama.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata kerajaan negeri kini giat merangka penyelesaian menyeluruh terhadap isu kekurangan tempat letak kenderaan di beberapa lokasi tumpuan sekitar Johor Bahru dan Iskandar Puteri yang dipercayai berpunca daripada peningkatan jumlah rakyat tempatan yang berulang-alik bekerja di Singapura.
Perkara sama turut diutarakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, yang berkata isu ini telah dibincangkan dalam mesyuarat Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebagai salah satu keutamaan dalam memastikan kelancaran pergerakan rakyat antara kedua-dua negara.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg