Topik diikuti
Pergi ke BHkuPuteri Umno gesa parti lebih berani angkat wanita muda ke pentas pilihan raya
Puteri Umno gesa parti lebih berani angkat wanita muda ke pentas pilihan raya
Puteri Umno Malaysia yang mencapai 25 tahun usia penubuhannya pada 3 Ogos, menegaskan beberapa keperluan penting yang perlu dipertimbangkan kepimpinan parti, bagi mengembalikan dominasi Umno di pentas politik negara yang semakin berubah.
Ketua Puteri Umno, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi, berkata antara ‘tuntutan’ tersebut ialah keterbukaan parti dalam mengangkat pemimpin wanita muda ke jawatan kepimpinan dan pencalonan pilihan raya.
Selain itu, katanya parti perlu segera merealisasikan pelaksanaan kuota 30 peratus untuk sayap wanita dan belia bagi memastikan keseimbangan jantina di Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau turut menegaskan keperluan segera untuk parti itu menaikkan had umur keahlian Puteri Umno daripada 35 kepada 40 tahun – sama seperti sayap Pemuda parti itu.
Jelasnya ia bagi memberi ruang lebih luas kepada pemimpin muda mencapai kematangan politik sebelum melangkah sebagai pemimpin bermutu ke gelanggang politik yang lebih luas dan mencabar.
Dalam satu temu bual bersama Berita Harian (BH) baru-baru ini, Datuk Nurul Amal berkata Puteri Umno kini berada dalam fasa lebih matang seiring perubahan landskap politik negara yang semakin mencabar.
Beliau berkata ketika mula menyertai Puteri Umno pada usia 19 tahun di bawah kepimpinan awal Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin (Ketua Puteri Umno ketika itu), sayap itu masih di peringkat membina asas dengan fokus utama menarik minat wanita muda untuk berpolitik.
“Ketika itu Puteri Umno masih baharu. Kita kumpulkan wanita muda untuk belajar politik. Waktu itu belum ada Undi 18 atau pendaftaran automatik pengundi,” katanya.
Namun menurutnya landskap politik hari ini jauh berubah dengan golongan muda kini membentuk sebahagian besar pengundi dan semakin menjadi penentu hala tuju politik negara.
“Orang muda hari ini bukan lagi sekadar pemerhati. Mereka sudah menjadi pencorak politik negara. Namun, keutamaan mereka berbeza, lebih kepada pendidikan, kerjaya dan kestabilan kewangan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan perkara itu tidak bermaksud golongan muda tidak berminat kepada politik, sebaliknya tahap kesedaran politik kini berkembang secara berbeza berbanding generasi terdahulu.
Datuk Nurul Amal berkata, Puteri Umno perlu menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut dengan memperkukuh peranan dalam melahirkan lebih ramai pemimpin muda wanita yang berdaya saing.
“Wanita sebenarnya ramai sebagai pengundi, tetapi jumlah calon wanita termasuk daripada golongan wanita muda masih terlalu rendah di peringkat Parlimen dan DUN. Ini perlu diberi perhatian oleh parti,” katanya lagi.
Mengulas lanjut mengenai cadangan menaikkan had umur keahlian Puteri Umno dari 35 tahun ke 40 tahun, Datuk Nurul Amal melihat ia agenda yang amat penting, dengan alasan kematangan politik tidak hanya ditentukan oleh usia semata-mata.
“Jika Pemuda Umno sehingga 40 tahun, Puteri juga wajar diselaraskan. Kematangan politik bukan hanya soal umur, tetapi juga pendidikan, pengalaman dan kesediaan untuk memimpin,” katanya.
Beliau berharap perkara itu yang sudah lama diperjuangkan, dapat direalisasikan pucuk pimpinan parti pada Perhimpunan Agung Umno 2026 yang bermula 9 hingga 12 September.
Ini katanya memandangkan proses melahirkan pemimpin memerlukan masa dan perancangan jangka panjang.
“Kita tidak boleh melatih pemimpin dalam sehari. Politik hari ini berubah setiap hari, jadi persediaan perlu bermula lebih awal,” katanya.
Datuk Nurul Amal turut menyifatkan Umno sebagai ‘kilang melahirkan pemimpin’, dan yakin parti itu masih mempunyai potensi untuk kembali mendominasi landskap politik negara.
Dalam masa sama, dengan keahlian Puteri Umno sekitar 200,000 orang di seluruh negara setakat ini, sayap parti paling junior itu perlu diberi tempat lebih luas sebagai pemimpin dalam parti, di peringkat Parlimen dan DUN, selaras hasrat Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang mahu orang muda membawa Umno ke tahap lebih baik.
