KUALA LUMPUR: Selepas beberapa bulan polemik berlarutan, Raja-Raja Melayu menyeru pihak luar supaya tidak mencampuri atau mempolitikkan pertikaian takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Sebaliknya Raja-Raja Melayu mahu usaha penyelesaian diserahkan kepada pihak berkepentingan dan berwajib melalui saluran yang sah, tertib serta berwibawa.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pada 14 Oktober oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, dengan menjunjung titah Raja-Raja Melayu, berkata Raja-Raja Melayu turut menyeru semua pihak terlibat supaya mengutamakan kebijaksanaan, kesabaran serta penghormatan terhadap adab, adat dan maruah institusi diraja.

“Isu yang sedang dihadapi, jangan sama sekali dijadikan bahan politik, modal untuk meraih sokongan atau ruang untuk meningkatkan pengaruh atau medan untuk memenuhi agenda perebutan kuasa.

“Kenyataan-kenyataan yang bercanggah dan kurang bertanggungjawab hanya akan mengeruhkan keadaan, meningkatkan ketegangan, mengelirukan rakyat dan mencemarkan kemuliaan institusi diraja,” ujar kenyataan itu, lapor Berita Harian Malaysia.

Raja-Raja Melayu juga menyeru supaya sebarang perbezaan pendirian diselesaikan melalui saluran yang sah, berwenang dan berwibawa, secara beradab dan beradat dalam semangat syura serta musyawarah berlandaskan undang-undang dan berpandukan peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Raja-Raja Melayu turut mengingatkan bahawa takhta adalah amanah yang membawa tanggungjawab besar terhadap negeri dan rakyat.

Dalam polemik yang berterusan sejak April lalu, hubungan institusi Raja dan Adat di Negeri Sembilan tegang selepas empat Undang yang berkuasa melantik dan menurunkan Yang di-Pertuan Besar, telah menyingkirkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, daripada takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Sementara itu, Tuanku Muhriz yang bertitah (berucap) pada Istiadat Menzahirkan Kejadian (melantik) Undang Luak Jelebu ke-17, Datuk Azrin Khairi, di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, pada 14 Oktober, berkata kewibawaan institusi raja hendaklah dipelihara berlandaskan integriti, keadilan dan tanggungjawab.

Dalam konteks Negeri Sembilan, katanya, Adat Perpatih dan peruntukan undang-undang menjadi asas kedudukan serta pewarisan takhta, manakala institusi adat membabitkan Undang Yang Empat, Lembaga, Ibu Soko, Buapak dan anak buah ialah warisan turun-temurun yang penting dalam memelihara adat dan menjamin kestabilan negeri.

Justeru, Tuanku Muhriz berkata sebarang pertikaian berkaitan kedudukan atau pewarisan takhta mestilah diselesaikan berdasarkan adat dan undang-undang yang berkenaan, bukannya mengikut kepentingan atau kehendak peribadi.

“Sehubungan itu, pihak-pihak yang sejak beberapa bulan kebelakangan ini mengambil tindakan sehingga menimbulkan pertikaian terhadap aturan warisan atas alasan mempertahan adat, perlu memahami adat tidak boleh dipertahankan dengan melanggar aturan adat itu sendiri.

“Tindakan sedemikian bukan sahaja boleh menjejaskan kewibawaan institusi adat dan istana, malah berisiko menggugat kestabilan negeri serta menghakis kepercayaan rakyat,” katanya.