SENAI: Penggunaan sistem lampu isyarat pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) di Jalan Seelong, Senai, kini membuahkan hasil, sekali gus meredakan kesesakan di salah satu laluan paling sibuk di daerah ini.

Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, mendedahkan waktu perjalanan puncak pagi kini berkurang daripada 18 minit kepada 14 minit, dengan barisan kenderaan menyusut 36 peratus.

Pada waktu puncak petang, pengurangan masa perjalanan mencatat lima minit lebih pantas, manakala kesesakan trafik menurun sebanyak 33 peratus.

Kejayaan ini disumbangkan oleh pelaksanaan sistem Smart Traffic Light (TrafficSens) yang memanfaatkan teknologi AI Virtual Loop di tiga persimpangan utama.

“Sistem ini mampu mengoptimumkan tempoh lampu hijau secara automatik mengikut aliran trafik semasa bagi memastikan pergerakan kenderaan menjadi lebih lancar dan teratur.

“Ini membuktikan penggunaan teknologi pintar mampu membantu menyelesaikan masalah yang sering dihadapi rakyat setiap hari,” katanya dalam satu kenyataan pada 22 Jun.

Beliau berkata demikian selepas meninjau keadaan trafik di Jalan Seelong bersama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), Timbalan Ketua Polis Daerah Kulai serta pegawai berkaitan.

Datuk Mohd Jafni turun padang seawal 7.40 pagi bagi meninjau keberkesanan langkah menangani kesesakan waktu puncak.

Baginya, kerajaan tidak boleh sekadar bergantung pada laporan kertas, sebaliknya perlu menyelami realiti harian pengguna jalan raya.

“Kita perlu melihat sendiri keadaan di lapangan dan mendengar pandangan rakyat yang berdepan cabaran ini setiap hari supaya penyelesaian yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat,” katanya.

Selain teknologi pintar, MPKu turut memasang pemasa digital pada lampu isyarat untuk membolehkan pengguna memantau baki tempoh masa dengan lebih jelas.

Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan disiplin pemandu, malah melancarkan aliran trafik waktu puncak.

Kejayaan ini juga hasil komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang aktif memantau lokasi trafik kritikal.

“Kerjasama erat antara MPKu, PDRM dan agensi teknikal yang terlibat membuktikan bahawa penggunaan teknologi pintar yang disokong pengurusan trafik secara aktif mampu memberikan penyelesaian yang cepat, praktikal dan berkesan kepada rakyat,” katanya.

Namun, beliau menegaskan sistem itu hanyalah fasa awal dalam usaha menangani kesesakan daerah.

Kerajaan Johor dan MPKu kini merangka langkah intervensi susulan berdasarkan data trafik dan keperluan pembangunan pesat di Kulai.