Muktamar Tahunan Parti Islam SeMalaysia (PAS) ke-72 yang berlangsung di Kelantan baru-baru ini, menyaksikan parti itu merencana agenda untuk menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16, yang dijangka diadakan sebelum 2028.

Malah, satu lagi penekanan penting yang diangkat pada muktamar itu ialah PAS bertegas akan mempertahankan setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen, termasuk negeri yang telah dimenangi parti itu dalam pilihan raya lalu.

Kelantan, tempat berlangsungnya muktamar tahunan PAS yang berakhir pada 5 September lalu, ialah salah satu negeri yang sekian lama menjadi kubu kuat parti itu, selain mentadbir Terengganu, Kedah dan mendominasi Perlis.

Justeru, dengan Kelantan yang menjadi antara pangkalan utama PAS, ketika membuat liputan muktamar berkenaan, Berita Harian (BH) mengambil peluang mendapatkan pandangan beberapa penduduk negeri itu.

Sejauh manakah penduduk negeri yang terkenal dengan julukan ‘negeri Serambi Makkah’ itu berpuas hati dengan pimpinan kerajaan PAS di Kelantan dan yakin parti itu bersedia menerajui Putrajaya pada PRU16 akan datang, selain mampu terus mempertahankan penguasaannya di negeri yang ditadbir?

Sebahagian warga negeri itu yang ditemui yakin pengalaman PAS berada dalam Kerajaan Persekutuan antara 2020 hingga 2022 memberi kelebihan bahawa parti itu mempunyai pengalaman mentadbir di peringkat nasional, malah mampu mengekalkan negeri yang dimenangi dan memperluaskan penguasaan di negeri lain.

Namun, bagi sebahagian yang lain pula, pengalaman mentadbir Kelantan, selain Terengganu, Kedah dan pernah memimpin Perlis, belum cukup untuk membuktikan PAS benar-benar bersedia menggalas tanggungjawab lebih besar di Putrajaya.

Cik Zaiton Man, 60 tahun.
Cik Zaiton Man, 60 tahun. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Bagi Cik Zaiton Man, 60 tahun, bagi sesetengah pandangan, Kelantan mungkin dilihat belum sempurna dari segi pembangunan, menyebabkan ada pihak yang mengaitkan kekurangan itu dengan kelemahan pentadbiran kerajaan PAS.

Namun, bagi ibu tujuh anak itu, keadaan tersebut tidak bermakna negeri berkenaan boleh dianggap mundur seperti yang sering didakwa sesetengah pihak.

Malah, wanita yang berasal dari Pasir Puteh itu melihat Kelantan sebagai negeri yang mempunyai keistimewaan tersendiri, dengan pembangunan yang lebih sederhana berbanding negeri-negeri lain.

“Saya rasa Kelantan sudah cukup hebat di bawah kerajaan PAS.

“Kita sebagai manusia memang tidak pernah cukup sempurna, tetapi kalau dibandingkan dengan negeri lain, bagi saya Kelantan ini istimewa.

“Orang kata Kelantan mundur, tidak maju, tetapi hakikatnya tidak begitu. Ekonomi masih berkembang, cuma mungkin pembangunan fizikalnya kurang,” katanya kepada BH.

Cik Zaiton, yang pernah menetap di Kedah dan Perak ketika mengikuti suaminya yang bertugas sebagai anggota polis, kini kembali menetap di Pasir Puteh selepas beberapa tahun merantau di luar Kelantan.

Menurutnya, beliau tidak melihat keperluan untuk Kelantan mengejar pembangunan fizikal secara berlebihan, sebaliknya lebih selesa dengan keadaan negeri yang bagi beliau, masih mengekalkan kehidupan yang sederhana.

“Walaupun orang kata Kelantan mundur, setiap kali cuti sekolah atau cuti panjang, negeri ini tetap sesak dengan pelancong. Itu menunjukkan Kelantan masih mempunyai tarikan tersendiri.

“Saya lebih suka Kelantan bersederhana dari segi pembangunan. Tidak perlulah pembangunan dengan bangunan tinggi untuk menunjukkan sesebuah negeri itu membangun.

“Jadi kalau ditanya mampukah PAS kekal mentadbir Kelantan dan menawan Putrajaya pada PRU16, bagi saya tidak mustahil. Malah, PAS juga sudah ada pengalaman di Putrajaya,” nya.

Bagaimanapun, Cik Zaiton mengakui masih ada ruang yang perlu dipertingkatkan, terutama dalam menarik lebih banyak pelaburan dari luar bagi mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan muda.

Untuk rekod, setakat laporan pada Mac 2025, Kementerian Ekonomi menyenaraikan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, sebagai antara enam negeri termiskin di Malaysia, selain Sabah dan Sarawak.

Guru pusat tuisyen swasta, Cik Nurul Fatihah Rosmaidi, 26 tahun.
Guru pusat tuisyen swasta, Cik Nurul Fatihah Rosmaidi, 26 tahun. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Berbeza dengan Cik Zaiton, tenaga pengajar di pusat tuisyen swasta, Cik Nurul Fatihah Rosmaidi, 26 tahun, melihat masih banyak perkara yang perlu diperbaiki kerajaan negeri PAS di Kelantan, terutama dalam menyediakan kemudahan asas dan peluang pekerjaan yang lebih baik untuk golongan muda.

Menurutnya sebagai anak muda yang menetap di Kelantan, lulusan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Terengganu itu masih kurang berpuas hati dengan pembangunan negeri ketika ini.

Antara perkara paling ketara, katanya ialah kemudahan sistem pengangkutan awam yang masih belum menunjukkan kemajuan seperti diharapkan.

“Bagi saya, perkara paling jelas ialah sistem pengangkutan. Terminal bas di Kota Bharu itu sudah tertangguh sejak sebelum saya belajar di peringkat ijazah sehingga saya sudah bekerja sekarang, tetapi ia masih belum wujud.

“Satu lagi ialah kemudahan lampu jalan. Jalan utama di kawasan luar bandar pun terlalu gelap. Bagi saya, ini perkara asas yang tidak sepatutnya kerajaan terlepas pandang.

“Justeru, bagi saya jika kerajaan PAS bercita-cita mahu mentadbir negara dan menang besar dalam pilihan raya, perlu terlebih dulu cekap dalam menguruskan dan menyelesaikan isu-isu asas rakyat di negeri yang mereka tadbir,” katanya.

Cik Nurul Fatihah berkata kerajaan negeri juga perlu memberi perhatian kepada isu gaji dan peluang pekerjaan sekiranya mahu menggalakkan lebih ramai anak muda terus menetap dan membina kehidupan di Kelantan.

“Bagi saya sendiri, saya masih tinggal di Kelantan kerana sedang menunggu peluang daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan untuk menjadi guru atau pensyarah,” katanya.

Pada Julai 2022, Kerajaan Kelantan berjanji pembinaan KB Sentral di Tunjong, bagi menggantikan Terminal Bas di Lembah Sireh, Kota Bharu, yang sudah beroperasi lebih 12 tahun, akan siap pada penghujung 2025.

Namun, menurut laporan Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan pada 10 September, Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr Izani Husin, berkata projek bernilai lebih RM64 juta ($19.9 juta) itu baru mencapai 73 peratus kerja rawatan tanah dan pembangunan fizikal disasar bermula 2027.

Selain disenaraikan sebagai antara negeri termiskin di Malaysia, Jabatan Perangkaan Malaysia pada Jun 2026 turut melaporkan Kelantan merekodkan peratusan tertinggi bagi aliran migrasi (penghijrahan) bandar ke luar bandar iaitu 49.3 peratus.

Mantan Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata faktor keluarga, persekitaran dan kerjaya merupakan antara sebab utama penghijrahan itu.

Pembantu Khidmat Tetamu, Cik Fatini Atiqah Mohd Noor, 26 tahun.
Pembantu Khidmat Tetamu, Cik Fatini Atiqah Mohd Noor, 26 tahun. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Cik Fatini Atiqah Mohd Noor, 26 tahun, dari Pengkalan Chepa, pula menyifatkan peluang pekerjaan di Kelantan sebenarnya masih banyak.

Namun, katanya, perbezaan gaji dan pilihan kerjaya menyebabkan sebahagian anak muda termasuk ramai kenalannya memilih untuk berhijrah ke negeri lain, termasuk Kuala Lumpur.

Pembantu Khidmat Tetamu di sebuah hotel di Kota Bharu itu, berkata meskipun gaji di Kelantan mungkin tidak setinggi di Kuala Lumpur, kos sara hidup yang lebih rendah menjadikan keadaan itu mempunyai kelebihan tersendiri.

“Ada pro dan kontra. Gaji mungkin lebih rendah di sini (Kelantan), tetapi kos hidup juga masih sederhana berbanding Kuala Lumpur yang kos sara hidupnya lebih tinggi walaupun pendapatan lebih besar,” katanya.

Cik Fatini berkata beliau sendiri tidak menghadapi kesukaran mendapatkan pekerjaan di Kelantan selepas tamat pengajian, malah mendapat peluang bekerja di sebuah hotel yang baru dibuka pada 2019.

“Jadi kalau nak kata kerajaan gagal sediakan peluang pekerjaan itu mungkin kurang tepat, cuma mungkin peluang pekerjaan yang setara dengan kelulusan mereka dan gaji yang dianggap kurang berbaloi, banyak,” katanya.

Jurujual Perodua, Encik Mohd Yusaini Yusoff, 50 tahun.
Jurujual Perodua, Encik Mohd Yusaini Yusoff, 50 tahun. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Jurujual Perodua, Encik Mohd Yusaini Yusoff, 50 tahun, dari Kota Bharu pula menyifatkan pembangunan di Kelantan setakat ini sebagai memuaskan, namun mengakui banyak lagi isu perlu ditangani segera.

Menurutnya, isu seperti masalah bekalan air bukan hanya berlaku di Kelantan, malah turut dihadapi negeri lain seperti Selangor, Perak dan Pulau Pinang.

Di Kelantan, isu air bukan hanya melibatkan gangguan bekalan, bahkan juga mutu air.

“Setakat hari ini, okeylah. Orang cakap tentang isu air, tetapi di negeri lain pun ada isu air. Setiap tempat ada masalah tersendiri.

“Yang penting bagi rakyat ialah pentadbiran kerajaan yang telus, amanah dan bebas rasuah.

“Ini satu ciri penting untuk sebuah parti menerajui negara dan atas sebab itu PAS berkemampuan kembali ke Putrajaya. Terlalu banyak isu penyelewengan yang menggusarkan rakyat,” katanya.

Penganalisis politik dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Wan Mohd Nazri Wan Daud.
Penganalisis politik dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Wan Mohd Nazri Wan Daud. - Foto ihsan WAN MOHD NAZRI WAN DAUD

Sementara itu, penganalisis politik dari UniSZA, Dr Wan Mohd Nazri Wan Daud, berpandangan pengalaman PAS berada dalam kerajaan, termasuk ketika menjadi sebahagian daripada pentadbiran Persekutuan selama 33 bulan di bawah kepimpinan dua Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, memberi parti itu pengalaman mentadbir di peringkat nasional.

Bagaimanapun, beliau berkata pengalaman semata-mata tidak mencukupi untuk membuktikan PAS mempunyai rekod pencapaian yang benar-benar meyakinkan bagi menerajui kerajaan Persekutuan.

Malah, menurutnya PAS terlebih dulu juga pernah menganggotai Kerajaan Persekutuan pada 1974 hingga 1978 bersama Barisan Nasional (yang sebelum itu dikenali sebagai Perikatan Nasional), di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein.

“PAS ada pengalaman mentadbir Kerajaan Persekutuan terutama yang terkini pada 2020 hingga 2022, tetapi kalau kita tengok rekod pentadbiran mereka, tidak ada apa-apa yang begitu menyerlah.

“Belum nampak satu pencapaian luar biasa atau pembaharuan yang besar, cuma hanya mampu laksanakan apa yang sedia ada saja. Isu air di Kelantan pun belum dapat diselesaikan ketika mereka menganggotai Kabinet,” katanya kepada BH.

Beberapa pemimpin PAS pernah dilantik menjadi Menteri Kabinet antaranya, Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Menteri Alam Sekitar dan Air; Naib Presiden, Datuk Idris Ahmad sebagai Menteri Hal Ehwal Agama dan Menteri Parlimen dan Undang-Undang sebelum ditukarkan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli.

Beliau berkata prestasi PAS mentadbir negeri seperti Kelantan dan Terengganu juga boleh menjadi antara ukuran untuk menilai kemampuan parti itu mengurus pentadbiran lebih besar, khususnya dari segi menarik pelaburan, membangunkan industri dan menjana kegiatan ekonomi.

Sebagai contoh, berdasarkan pemerhatiannya di Terengganu, lebih banyak program jangka pendek dilaksanakan, berbanding program jangka panjang yang memberi impak besar termasuk untuk menarik pelaburan atau menjadikan Terengganu negeri pelaburan atau perindustrian mega.

“Yang terkini akan bermula operasi projek infrastruktur seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Lembah Klang ke Terengganu.

“Tetapi, ia hanya akan memberi impak lebih besar kepada negeri berkenaan jika disokong dengan pembangunan industri dan pengeluaran ekonomi yang mampu menjadikan Kelantan dan Terengganu bukan sekadar untuk menarik ‘penumpang’,” katanya.

Dr Wan Mohd Nazri turut menolak alasan bahawa kekangan ketika pandemik Covid-19 menjadi punca prestasi PAS dalam kerajaan Persekutuan sebelum ini kurang menonjol.

“Orang yang optimis melihat peluang dalam krisis, manakala orang yang pesimis melihat krisis itu sebagai alasan. Kalau kreatif, ada sahaja cara untuk menjana pendapatan,” katanya.

“Walaupun orang kata Kelantan mundur, setiap kali cuti sekolah atau cuti panjang, negeri ini tetap sesak dengan pelancong. Itu menunjukkan Kelantan masih mempunyai tarikan tersendiri. Saya lebih suka Kelantan bersederhana dari segi pembangunan... Jadi kalau ditanya mampukah PAS kekal mentadbir Kelantan dan menawan Putrajaya pada PRU16, bagi saya tidak mustahil. Malah, PAS juga sudah ada pengalaman di Putrajaya.” 
Cik Zaiton Man, 60 tahun.

“Bagi saya, perkara paling jelas ialah sistem pengangkutan. Terminal bas di Kota Bharu itu sudah tertangguh sejak sebelum saya belajar di peringkat ijazah sehingga saya sudah bekerja sekarang, tetapi ia masih belum wujud... Bagi saya ini perkara asas yang tidak sepatutnya kerajaan terlepas pandang. Justeru, bagi saya jika kerajaan PAS bercita-cita mahu mentadbir negara dan menang besar dalam pilihan raya, perlu terlebih dulu cekap dalam menguruskan dan menyelesaikan isu-isu asas rakyat di negeri yang mereka tadbir.”
Cik Nurul Fatihah Rosmaidi 26 tahun, guru pusat tuisyen swasta.

“Yang penting bagi rakyat ialah pentadbiran kerajaan yang telus, amanah dan bebas rasuah. Ini satu ciri penting untuk sebuah parti menerajui negara dan atas sebab itu PAS berkemampuan kembali ke Putrajaya. Terlalu banyak isu penyelewengan yang menggusarkan rakyat.”
Encik Mohd Yusaini Yusoff, 50 tahun, jurujual Perodua.