JOHOR BAHRU: Johor menerima lebih 14 juta pelawat asing sepanjang separuh pertama 2025, sekali gus menunjukkan perkembangan positif industri pelancongan negeri menjelang sambutan Tahun Melawat Johor 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Encik K. Raven Kumar, berkata daripada jumlah itu, warga Singapura mencatat angka tertinggi dengan lebih 11 juta (78.5 peratus) orang berkunjung ke Johor antara Januari hingga Julai 2025.
“Selain Singapura, Johor turut menerima ramai pelawat dari Indonesia, China, India, Filipina, negara Eropah dan Korea Selatan. Malah, dari Januari hingga Mac sahaja, lebih dua juta pelancong termasuk rakyat Malaysia telah bermalam melebihi satu malam di Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan pameran ‘Works on Paper: Art Inside the Wallet’ anjuran Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, pada 19 Ogos.
Menurut Encik Raven, perkembangan itu adalah petanda baik bukan sahaja kepada kerajaan negeri tetapi juga penggiat industri pelancongan tempatan, yang kini giat membuat persiapan menjelang Tahun Melawat Johor.
Usaha sedang digiatkan untuk mempromosikan bandar kecil di 10 daerah Johor sebagai destinasi pelancongan berpotensi kepada pelawat dalam dan luar negara.
“Banyak bandar kecil yang terletak berhampiran tarikan pelancongan seperti air terjun serta terkenal dengan juadah tempatan. Justeru, kerajaan negeri akan memperkenalkannya sebagai sebahagian daripada destinasi pelancongan sempena Tahun Melawat Johor 2026.
“Antara langkah yang dilaksanakan ialah menganjurkan acara peringkat negeri seperti Majestic Johor dan Festival Zapin di luar Johor Bahru,” jelasnya, lapor The Star.
Encik Raven berkata kerajaan Johor turut menetapkan sasaran menarik 12 juta pelancong ke negeri itu pada 2026 melalui peningkatan produk pelancongan sedia ada serta penganjuran pelbagai acara bagi memperkukuh kedudukan Johor sebagai destinasi utama pelancong.
Mengenai pameran berkenaan, beliau berkata ia akan berlangsung selama enam bulan di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar sehingga 18 Februari tahun 2026.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg