Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Taman Botani DiRaja Johor dibuka semula 31 Ogos, tarikan baru pelancongan negeri

Aug 6, 2025 | 4:06 PM
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim (tengah), ketika menerima kunjungan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (kiri).
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim (tengah), ketika menerima kunjungan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (kiri). - Foto FACEBOOK ONN HAFIZ GHAZI

Taman Botani DiRaja Johor yang mempunyai nilai sejarah tinggi akan dibuka semula kepada orang ramai bermula 31 Ogos ini selepas melalui kerja naik taraf bagi menjadikannya salah satu mercu pelancongan negeri.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata pembukaan semula taman itu adalah dengan kebenaran Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, serta Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim.

“Syukur Alhamdulillah, dengan penuh rasa gembira saya ingin berkongsi berita yang pastinya dinanti-nanti oleh seluruh Bangsa Johor. Taman Botani DiRaja Johor akan dibuka kepada umum bermula 31 Ogos 2025,” katanya dalam satu kenyataan pada 6 Ogos.

Taman seluas lebih 126 ekar itu akan dibuka setiap Rabu hingga Ahad dari 8 pagi hingga 6 petang, manakala ia akan ditutup setiap Isnin dan Selasa untuk kerja penyelenggaraan.

Harga tiket masuk ditetapkan RM30 ($9.1) bagi bukan warga, RM2 bagi warga Malaysia, manakala kemasukan adalah percuma bagi kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah dan pemegang kad orang kurang upaya (OKU).

Ditubuhkan pada 1864, taman itu kini kembali dengan wajah baru yang lebih indah dan tersusun, sekali gus mencerminkan warisan alam semula jadi yang menjadi identiti negeri Johor.

Naik taraf yang dilaksanakan melibatkan penambahan 12 taman khas, menempatkan lebih 583 spesies flora dan hampir 145,000 batang pokok.

Kerja naik taraf ini turut direalisasikan melalui kerjasama erat Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) dan Majlis Perbandaran Pontian (MPPn).

Datuk Onn Hafiz berkata usaha ini diharap dapat menghidupkan semula memori serta nilai sentimental lokasi-lokasi bersejarah yang menjadi sebahagian daripada identiti Bandaraya Johor Bahru, selain menyokong agenda Tahun Melawat Johor 2026.

“Bawalah keluarga dan rakan untuk menerokai Taman Botani DiRaja Johor ini. Semoga kehadiran anda semua akan memeriahkan lagi pembukaan sekali gus menjayakan agenda Tahun Melawat Johor 2026,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg