ALOR SETAR: “Ramai pelanggan yang datang ke sini selepas video promosi perniagaan roti canai mereka tular tapi sebenarnya mereka dah lama berhenti berniaga sejak pertengahan tahun lepas.”
Demikian luahan pilu Encik Mohd Najmuddin Mohd Nor, 34 tahun, rakan kepada pasangan suami isteri yang maut bersama empat anak mereka selepas kereta dinaiki terbabas ke dalam Terusan Sungai Korok di Jitra.
Pasangan yang dikenali sebagai Mohamad Azim Izat Ishak, 32 tahun, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31 tahun, sebelum ini pernah berniaga roti canai di Medan Selera Hospital Lama Alor Setar, namun hanya bertahan lebih kurang sebulan kerana kekurangan pelanggan.
Encik Najmuddin yang berniaga roti canai di medan tersebut sejak 2020 berkata ketika video lama perniagaan pasangan itu tular baru-baru ini, ramai pelanggan datang ke medan selera tersebut untuk mencari gerai mereka, lapor Sinar Harian.
Menurutnya, difahamkan pasangan tersebut kembali menyambung perniagaan roti canai kira-kira sebulan lalu di Tanah Merah, Pendang, selepas Cik Nurul Hidayah habis berpantang selepas melahirkan anak kembar mereka.
“Video promosi tersebut mereka buat pada April tahun lalu sebelum mereka keluar dari medan ini disebabkan kekurangan pelanggan. Namun, tak sangka video itu kembali tular.
“Azim seorang yang baik dan suka bantu kawan-kawan. Mereka berniaga di bahagian medan belakang manakala saya berniaga di hadapan. Dia pun selalu beli roti canai dari saya untuk sokong perniagaan saya,” katanya ketika ditemui di Medan Selera Hospital Lama Alor Setar pada 14 Julai.
Tambahnya, Encik Mohamad Azim dan Cik Nurul Hidayah sering membawa anak-anak mereka ke gerai ketika cuti persekolahan mencerminkan sikap mereka sebagai ibu bapa yang penyayang.
Jelas Encik Najmuddin, kereta Proton Iswara yang terjatuh ke dalam Terusan Sungai Korok merupakan kenderaan utama keluarga tersebut yang digunakan untuk urusan harian dan perniagaan.
Menurutnya, tragedi tersebut mengejutkan masyarakat setempat yang mengenali mereka sebagai keluarga ceria dan gigih berusaha mencari rezeki.
“Bila berita kematian mereka tular, ramai yang terkejut termasuk saya sendiri. Memang saya tak sangka enam mangsa tersebut adalah orang yang saya kenali,” katanya lagi.
Kejadian menyayat hati itu meragut nyawa enam sekeluarga termasuk empat anak mereka iaitu Putra Rayyan, sembilan tahun; Hawa Adriana, lapan tahun; Annayla Humaira, tujuh tahun; dan bayi lelaki, Tuah Haydar, berusia enam bulan.
Kesemua jenazah selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid At-Taqwa, Jerlun, pada jam 11.50 malam Isnin lalu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg