KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memberikan bantuan terbaik kepada anak sulung pasangan yang ditemukan maut bersama empat lagi anak mereka di dalam kereta yang tenggelam dalam Sungai Korok di Jitra, Kedah, pada 7 Julai.
Menteri Pendidikan, Cik Fadhlina Sidek, menerusi hantaran di Facebook pada malam 7 Julai turut merakamkan ucapan takziah dan menyifatkan tragedi itu sebagai berita yang sangat menyayat hati.
Beliau berkata Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Encik Abdul Rahim Mat, yang menjalankan tugas Pengarah Pendidikan Negeri telah menziarahi kanak-kanak itu, Putri Qisya Nur Izzat Mohamad Azim Izat, 12 tahun, dan keluarganya di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, pada petang 7 Julai.
“Saya pastikan anakanda Putri Qisya diberi bantuan terbaik. Jabatan Pendidikan Negeri Kedah akan membantu menguruskan semua keperluan anakanda,” kata Cik Fadhlina, lapor Harian Metro.
Cik Fadhlina berkata beliau mendoakan agar Putri Qisya Nur Izzat dan keluarganya diberikan ketabahan serta kesabaran dalam menempuh ujian itu.
Mayat enam beranak, Encik Mohamad Azim Izat Ishak, 32 tahun; Cik Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31 tahun; Putra Rayyan Nur Izzat, 9 tahun; Hawa Adriana Nur Izzat, 8 tahun; Annayla Humaira Nur Izzat, 7 tahun; dan Tuah Haydar, enam bulan; yang dalam perjalanan pulang ke Jerlun dari rumah ahli keluarga di Taman Seri Aman di Jitra pada 5 Julai lalu, ditemukan di dalam kereta mereka di Sungai Korok di Jitra pada pagi 7 Julai.
Adik kepada Encik Mohammad Azim Izat, Encik Muhammad Adlan Solehin, 24 tahun, memaklumkan anak sulung pasangan berkenaan, Puteri Qisya Nur Izzat, tidak mengikuti keluarga ke rumah saudara pada hari kejadian.
Sementara itu, seorang anggota Pasukan Penyelamat Di Air Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Encik Mohammad Hasri Haslan, 31 tahun, yang menyertai operasi menyelamat kereta terjunam itu, berkata:
“Ini kes paling sayu dan tragis saya hadapi sepanjang bertugas dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah.
“Paling sedih dan tersentuh hati ketika saya dan rakan seperjuangan mengangkat jasad bayi enam bulan dan tiga kanak-kanak.”
Beliau yang duduk di atas Proton Iswara ketika diangkat naik ke tebing, turut sebak apabila melihat satu demi satu jasad mangsa dibawa keluar dari kereta berkenaan, lapor Berita Harian Malaysia.
Katanya, jasad pertama dikeluarkan adalah kanak-kanak perempuan, disusuli bayi lelaki berusia enam bulan dan diikuti kanak-kanak lelaki.
“Jasad keempat ialah kanak-kanak perempuan, disusuli ibu mereka, manakala jasad bapa kanak-kanak berkenaan yang terakhir dikeluarkan.
“Saya pun ada anak, bila tengok keadaan itu memang saya sedih, lebih-lebih lagi bayi itu, memang sedih,” katanya.
Sementara itu, jenazah enam beranak itu selamat dikebumikan pada 11.50 malam 7 Julai di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bohor Karang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg