Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerajaan M’sia usaha selamatkan mangsa penipuan pekerjaan di luar negara

Nov 8, 2023 | 4:25 PM
USAHA BAWA PULANG: Timbalan Menteri Luar Malaysia, Datuk Mohamad Alamin menjelaskan kerajaan sedang berusaha membawa pulang mangsa penipuan sindiket pekerjaan di luar negara terutama yang berdaftar dengan kementerian itu.
USAHA BAWA PULANG: Timbalan Menteri Luar Malaysia, Datuk Mohamad Alamin menjelaskan kerajaan sedang berusaha membawa pulang mangsa penipuan sindiket pekerjaan di luar negara terutama yang berdaftar dengan kementerian itu. - Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar Malaysia (KLN) telah membawa pulang 518 mangsa penipuan sindiket pekerjaan di luar negara, setakat 3 November 2023.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin, berkata jumlah itu adalah sebahagian daripada 704 mangsa penipuan sindiket pekerjaan di luar negara yang dikesan mendaftar dengan KLN.

Justeru, beliau berkata pihaknya memohon kerjasama semua pihak, termasuk mangsa supaya mendaftar dengan pihak berwajib, susulan lebih 2,000 rakyat Malaysia dilaporkan berada di luar negara akibat ditipu sindiket hingga kini.

Beliau memaklumkan, pihak kementerian juga sedang berusaha mengenal pasti 26 mangsa sindiket penipuan pekerjaan yang berada di Laukkaing, Myanmar.

“Kita juga sedang menunggu ‘lampu hijau’ daripada pihak berkuasa negara itu untuk membolehkan Malaysia membuat lawatan dan perbincangan di sana.

“Data rasmi KLN bagi mangsa yang kita jejaki dan kesan adalah 704 (orang), yang kita berjaya selamatkan ialah 518, manakala 186 lagi sedang dikesan.

“Banyak laporan media yang melaporkan lebih daripada itu, ada yang kata sampai 2,000 orang. Barangkali ini yang belum berdaftar dan dijejaki oleh kita.

“Jadi kita ingin memohon kerjasama semua pihak, jika ada maklumat, berikan kepada kami untuk mengesan dan membawa pulang mangsa,” katanya lapor Berita Harian Malaysia pada Rabu.

Beliau menjawab soalan Encik Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) di Dewan Rakyat yang meminta Menteri Luar menyatakan kaedah yang akan diambil bagi meningkatkan kesedaran masyarakat untuk mengelak penipuan pekerjaan di Kemboja dan Myanmar.

Menjelaskan lanjut, Datuk Mohamad berkata KLN melalui Kedutaan Besar Malaysia di Yangon, Myanmar, dengan kerjasama Thailand, Vietnam, Filipina serta China, sedang menyelaras dan menggunakan segala alternatif bagi membawa pulang 26 mangsa sindiket itu.

Beliau berkata KLN menerajui satu jawatankuasa khas yang ditubuh bagi menyelesaikan isu sindiket penipuan tawaran pekerjaan membabitkan semua agensi berkaitan.

Datuk Mohamad meminta orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pekerjaan luar negara yang kebiasaannya memberi tawaran hebat seperti tiket penerbangan dan penginapan percuma dan elaun tinggi.

“Saya mohon supaya periksa terlebih dahulu. Kita mempunyai wakil PDRM dalam jawatankuasa khas itu, maka orang ramai boleh pergi ke balai polis berdekatan untuk mendapatkan maklumat sama ada ia betul atau tidak.

“Kita tidak mahu berlaku ribuan rakyat kita tersekat di luar negara, malah ada yang diseksa, penderaan fizikal dan memeras wang ringgit... ini adalah pengajaran,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg