Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rancang anjur kenduri kesyukuran sempena perkahwinan, namun ajal datang dahulu

Jul 3, 2025 | 9:19 PM
Orang ramai hadir di pengebumian jenazah Allahyarham Wan Hasbullah di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim pada 10 malam, 2 Julai.
Orang ramai hadir di pengebumian jenazah Allahyarham Wan Hasbullah di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim pada 10 malam, 2 Julai. - Foto HARIAN METRO

KUALA TERENGGANU: Allahyarham Wan Hasbullah Wan Abdul Halim, 42 tahun, merancang untuk mengadakan majlis kesyukuran sempena perkahwinan kali kedua pada September depan.

Perancangan itu dikongsi adik bongsu arwah, Encik Wan Zainul Abidin, 33 ahun, ketika ditemui selepas selesai proses pengebumian jenazah abangnya di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim, di sini, pada 10 malam pada 2 Julai.

Encik Wan Hasbullah meninggal dunia selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya terbabit kemalangan dengan kereta di KM79 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, Bukit Grebar pada pagi 2 Julai, lapor Harian Metro.

Encik Wan Zainul Abidin berkata arwah anak kelima daripada sembilan beradik itu merancang untuk mengadakan kenduri kesyukuran sempena perkahwinan keduanya yang diadakan 26 Jun lalu.

“Arwah bercadang mengadakan majlis itu pada September nanti tetapi belum menetapkan tarikh,” katanya.

Sementara itu, di tanah perkuburan, tiga anak lelaki arwah hasil perkahwinan terdahulu tenang mengiringi proses pengebumian jenazah bapa mereka.

Biar pun kehilangan bapa tersayang yang pergi secara tiba-tiba, tiga beradik itu, Wan Faishol Hokam, 13 tahun, Wan Fawas Syakir, 11 tahun, dan Wan Faqeh Hamdi, 9 tahun, tenang sebaik jenazah bapa mereka diturunkan ke dalam liang lahad.

Ketika keseluruhan liang tertutup sepenuhnya, Wan Fawas Syakir secara spontan mengucapkan selamat tinggal kepada arwah bapa dengan ungkapan: “Bye-bye papa... I love you.

Tiga beradik masing-masing bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman, Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman 1 dan Sekolah Rendah Islam Darul Iman (Sridi) Kubang Jela, Manir, juga tenang mengaminkan doa ketika bacaan talkin.

Usaha menemubual isteri arwah, Cik Wan Nazirah Wan Fauzi, 37 tahun, gagal apabila kelibat wanita terbabit tidak kelihatan di tanah perkuburan.

Terdahulu, seramai lebih 2,000 jemaah menyempurnakan solat jenazah di Masjid Khalifah, Jalan Pusara, kira-kira satu kilometer dari tanah perkuburan.

Encik Wan Zainul yang tinggal berdekatan dengan rumah arwah di Jalan Tekukur, di sini, berkata ketika kejadian, arwah yang aktif melakukan aktiviti amal bersama kumpulan motosikal berkuasa tinggi Alternatif Riding Club (ARC), dikatakan dalam perjalanan untuk bertemu beberapa rakan kelab berkenaan yang tiba dari Kedah dan menginap di Besut.

“Rakan arwah datang ke Terengganu untuk menyantuni keluarga Nurly Shahirah, pelajar UPSI yang maut dalam nahas bas dekat Tasik Banding, Gerik di Kampung Gong Pasir, Kerandang, Besut dan arwah yang juga pengerusi kelab berkenaan ke sana (Besut) untuk berbincang mengenai perkara itu,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg