Seorang lelaki berusia 30 tahun terkorban selepas kemalangan membabitkan dua motosikal, sebuah trak dan sebuah lori di Admiralty Road pada 20 Jun.
Polis berkata mereka dimaklumkan mengenai kemalangan di sepanjang Admiralty Road menghala ke Woodlands Center Road pada 3.15 petang.
Video yang dimuat naik di media sosial menunjukkan paramedik membentang kain putih ke atas seseorang yang terbaring.
Sebuah ambulans dan beberapa kenderaan polis turut kelihatan di tempat kejadian.
Seorang penunggang lelaki maut di tempat kejadian manakala seorang lagi penunggang motosikal – lelaki berusia 56 tahun – dibawa dalam keadaan sedar ke Kampus Kesihatan Woodlands, kata polis dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
Dalam dua insiden berasingan, empat lelaki cedera menyusuli dua kemalangan di Bedok dan Bukit Batok pada petang yang sama.
Polis dimaklumkan mengenai kemalangan membabitkan sebuah van dan dua kereta di sepanjang Bedok North Road menghala ke New Upper Changi Road pada 2.20 petang.
Seorang pemandu kereta lelaki berusia 46 tahun dan penumpang lelakinya yang juga berusia 46 tahun, serta penumpang lelaki berusia 39 tahun dari kereta lain, telah dihantar ke Hospital Besar Changi (CGH).
Dalam satu lagi kemalangan sekitar dua jam kemudian, sebuah kereta putih terbabas ketika dalam perjalanan di sepanjang Jalan Choa Chu Kang menghala ke Jalan Bukit Batok.
Rakaman video menunjukkan sebuah kereta berwarna putih kelihatan merempuh sebatang pokok.
Polis berkata mereka dimaklumkan mengenai kemalangan itu pada 4.15 petang.
Seorang pemandu kereta lelaki berusia 45 tahun telah dihantar ke Hospital Besar Ng Teng Fong (NTFGH).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg